Menu Utama

PERDANA MENTERI THERESA MAY DAN NAJIB TUN RAZAK KUKUHKAN HUBUNGAN  UK-MALAYSIA DI DOWNING STREET

Saya gembira dapat bertemu Perdana Menteri Theresa May hari ini. Kami telah mengesahkan hubungan yang kuat antara Malaysia dan United Kingdom, yang telah sedia terjalin dan berlanjutan sejak kemerdekaan negara kita 60 tahun yang lalu.

Sebagai tambahan kepada nilai dan sejarah bersama Malaysia, UK sedang mencari hubungan baru dengan rakan-rakan kongsi di seluruh dunia kerana UK telah meninggalkan Kesatuan Eropah. Malaysia yang kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menambah nilai dagangan dan diplomatik, terletak secara strategik di tengah-tengah Asia Tenggara dengan hubungan kukuh dengan dunia Islam dan China.

Sebagai negara perdagangan yang berpandangan jauh, yang baru-baru ini disenaraikan oleh Bank Dunia mampu menghadapi masa depan “dari kedudukan kekuatan”, Malaysia mengalu-alukan peluang untuk memiliki perkongsian ekonomi yang lebih rapat dengan UK. Saya memberi jaminan kepada Perdana Menteri May bahawa Malaysia dengan senang hati bersedia membincangkan penubuhan perjanjian perdagangan dua hala antara kedua-dua negara secepat mungkin. Kita tahu bahawa perdagangan dua hala negara kita akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat kita.

UK dan Malaysia berdiri bersatu atas perlunya memerangi keganasan dan ekstremis ganas. Kami meratapi kematian orang-orang yang telah meninggal dunia dalam serangan terbaru yang mengerikan di UK. Malaysia bersedia untuk berkongsi kepakaran dan pengalamannya dalam memerangi ancaman daripada mereka yang telah menghina nama Islam serta mendakwa bahawa kekejaman mereka adalah kerana Islam.

Perdana Menteri May dan saya juga membincangkan malapetaka kemanusiaan yang dihadapi Rohingya di Myanmar, dan kami bersetuju bahawa komuniti antarabangsa mesti berkumpul untuk mencari penyelesaian untuk mengakhiri krisis yang mengejutkan kedua-dua negara dan dunia.

Britain dan Malaysia merupakan rakan kongsi lama. Perbincangan saya dengan Perdana Menteri May mengesahkan kedamaian menerusi persahabatan kita, dan kami berharap kedua-dua negara akan terus bekerjasama untuk menjayakan masa depan yang makmur dan selamat bagi masyarakat negara kita.

DATO’ SRI NAJIB TUN RAZAK,
PERDANA MENTERI MALAYSIA






Leave a Reply