Menu Utama

Melayu DAP Kata Hanya Kes Cerai Sahaja Perlu Kaunseling?

Semalam, seorang pemimpin Melayu DAP menyatakan pendiriannya tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) yang menghukum seorang lelaki muslim menjalani sesi kaunseling kerana mendedahkan aurat mengenakan seluar pendek.

Kata pemimpin Melayu yang diraikan penyertaannya sebagai ahli DAP oleh seorang warga emas berstatus bekas Perdana Menteri itu, lelaki berkenaan tidak perlu dikaunseling kerana kes tersebut bukan kes cerai…

Tersenyum sumbing penulis membaca kenyataan ringkas bekas menteri yang sering dikritik sebagai berfahaman terlalu liberal itu. Terus terlintas di fikiran penulis, cocok benar jika pemimpin DAP ini digandingkan dengan Siti Kasim, bukan? Bagai pinang dibelah dua!

Pertamanya, sebagai seorang yang dikatakan mahir dengan perundangan, rasanya dia tahu bahawa JAHEAIK berhak, memiliki kuasa dan autoriti untuk menjatuhkan hukuman tersebut, bukan? Sila rujuk ‘kitab’ perundangan membabitkan jabatan agama negeri.

Apa salahnya jika lelaki tersebut dihukum menjalani kaunseling? Ia tidak menyalahi undang-undang yang diperuntukkan, malah ia juga boleh dikatakan agak ringan apabila membabitkan hukum aurat yang diperintah Allah dan RasulNya.

Penulis yakin, majoriti umat Islam di negara ini tahu mengenai hukum menutup aurat, sama ada lelaki mahupun wanita. Berdosa jika mendedahkan aurat, bukan? Semua orang tahu, bukan? Apakah Melayu DAP itu tidak tahu?

Cuma, hukumannya mungkin tidak dapat dilihat di dunia, namun penulis yakin di akhirat kelak nanti pesalahnya tidak akan terlepas jika dia tidak memohon ampun dan bertaubat. Itupun jika Allah ampunkan dan terima taubatnya, bukan?

Namun dari sudut perundangan dunia, JAHEAIK diberi kuasa untuk menguatkuasa undang-undang yang ditetapkan dan menghukum mereka yang didapati bersalah. Dari konteks ini, jelaslah pesalahnya hanya perlu menjalani sesi kaunseling sahaja. Beratkah?

Melucukan, apakah dia fikir hanya kes cerai saja yang perlu menjalani sesi kaunseling? Lawak apakah yang cuba disampaikan pemimpin DAP itu? Selain daripada kes cerai, maka apa hukuman yang paling tepat padanya? Penjara 10 hari? Ada cadangan?

Apa yang menyedihkan penulis ialah bukan hanya Melayu DAP berkenaan, namun lebih kepada kesedaran mereka yang mengaku beragama Islam, tapi terpaksa dikuatkuasakan hukuman untuk kesalahan yang begitu mudah untuk dituruti perintahNya.

Allah perintahkan muslim dan muslimah untuk menutup aurat sebagaimana yang diputuskan dalam ketetapan ijma’ ulama, susah sangatkah untuk taat pada perintah Allah yang mudah itu? Sehingga perlu dihukum, baru hendak taat pada perintahNya?

Justeru itu, penulis menyeru kepada diri penulis sendiri dan semua muslimin serta muslimat di seluruh dunia khususnya di negara kita supaya patuh pada perintah agama, nescaya bukan saja selamat di dunia, malah di akhirat pun kita akan selamat, bukan? Ayuh usaha masuk syurga Allah…






Leave a Reply