Menu Utama

Insiden Maahad Tahfiz Ittifaqiyah: RM30 Juta Dan Sekadar ‘Air Liur’…

Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini begitu menyayat hati dan menggemparkan negara. Selepas seluruh negara berduka dengan kemangkatan Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, kita bersedih dengan tragedi yang mengorbankan lebih 20 pelajar tahfiz dan 2 gurunya pula.

Boleh dikatakan hampir semua pihak meluahkan rasa simpati dan mengucapkan takziah atas insiden yang berlaku. Tidak kurang dari itu, ada yang mengulas tentang aspek keselamatan yang perlu dititik beratkan, dan ada pula yang sengaja mencetus spekulasi tertentu.

Pada pandangan penulis, adalah amat wajar untuk diserahkan segala urusan siasatan mengenai insiden terbabit kepada pihak berkuasa. Setelah siasatan selesai dan sah, maka bolehlah memberi pandangan yang membina.

Merujuk kepada insiden kebakaran di maahad tahfiz tersebut, penulis teringat kepada insiden kebakaran di Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah di Kedah yang berlaku sekitar tahun 1989 dahulu yang mengorbankan 27 nyawa pelajarnya.

Selepas insiden tersebut berlaku, pihak kerajaan telah menubuhkan RCI mengenai keselamatan di sekolah-sekolah agama di negara ini. Penulis difahamkan, biarpun terdapat cadangan-cadangan dari RCI tersebut, ia gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Penulis tidak pasti siapa yang mengetuai Kerajaan ketika itu. Siapa Perdana Menteri ketika insiden Pondok Pak Ya itu berlaku? Entah kenapa dia tidak pastikan cadangan-cadangan RCI itu tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Mungkinkah ketika itu dia terlalu sibuk berpolitik? Sibuk menangkap orang di sana sini yang cuba merampas kedudukannya sebagai Perdana Menteri? Terlalu sibuk untuk mencipta krisis-krisis perlembagaan? Atau sibuk membantu kroni ‘mengkayakan’ diri?

Penulis tidak pasti apa tindakannya untuk memperkasakan aspek keselamatan pusat-pusat pengajian Islam di negara ini selain menubuhkan RCI. Mungkinkah kerana pusat-pusat pengajian berkenaan didominasi oleh pemimpin dan penyokong PAS, maka dia tidak mahu membantu mereka?

Alih-alih selepas apa yang berlaku di maahad tahfiz di Jalan Keramt Ujung itu, pandai pula dia kata ‘tidak ambil iktibar dari insiden pondok Pak Ya’? Apa maksudnya? Dia maksudkan pondok-pondok pengajian Islam itu tidak peduli aspek keselamatan?

Pada pandangan penulis, tidak ada satu pun pusat pengajian Islam di negara ini yang mahu premis mereka terbakar dan mengorbankan pelajarnya. Mereka cuma dikekang oleh dana yang terhad dan itu memungkinkan kelemahan berlaku dari sudut keselamatan.

Sekadar menubuhkan RCI, namun gagal melaksanakan cadangan yang diberi, apa gunanya? Mungkin bantuan dihulur kepada pondok Pak Ya ketika itu untuk membina asrama yang lebih baik selepas itu, namun bagaimana dengan pusat pengajian Islam yang lain?

Tapi mujurlah tragedi kali ini mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara yang prihatin. Baru saja pulang dari luar negara atas urusan pelaburan besar yang menguntungkan masa depan negara, sepantas itu beliau mengumumkan bantuan RM30 juta.

Menariknya, peruntukan RM30 juta itu bukan hanya untuk Maahad Tahfiz Ittifaqiah, malah ia juga difahamkan adalah untuk semua pusat-pusat pengajian Islam lain di negara ini bagi memastikan aspek keselamatan di premis-premis mereka diperkasakan mengikut standard yang ditetapkan bomba.

Dalam ertikata lain, ia merupakan satu tindakan menyeluruh, pantas dan melegakan ramai pengendali-pengendali pusat pengajian Islam tradisional di seluruh negara. Dan penulis yakin, satu ketetapan akan dibuat berkenaan standard keselamatan di premis-premis terbabit.

Ia sebenarnya bukan satu tindakan yang baru. Sebelum ini, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri sekarang ini begitu mengambil berat terhadap perkembangan pusat-pusat pengajian Islam ini di mana telah ditubuhkan yayasan khas untuknya.

Melalui yayasan dan program-program yang diadakan, maka peruntukan dan bantuan sewajarnya telah disalurkan mengikut keperluan. Lebih menarik, ia dilakukan tanpa memilih ‘bulu’, malah pusat pengajian Islam yang dimiliki orang PAS pun dibantu!

Tidak dinafikan ada di kalangan pengendali pusat pengajian Islam yang bersikap prejudis dan enggan menerima bantuan kerajaan. Namun pada pandangan penulis, mereka ini perlu diberi kesedaran melalui penguatkuasaan supaya menitik beratkan soal keselamatan pusat pengajian masing-masing.

Penulis memohon agar apa insiden yang berlaku baru-baru ini supaya tidak dipolitikkan. Perdana Menteri kini melakukan tangggungjawabnya sebagai pemimpin no.1 negara, muslim dan orang Melayu terhadap kepentingan agama dan bangsanya. Tiada unsur politik dalam tindakan tersebut.

Harapan penulis agar apa tindakan yang diambil oleh kerajaan kali ini membuka mata kepada seluruh umat Islam dan bangsa Melayu supaya menzahirkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan. Takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan redhalah atas takdirNya. Al-Fatihah…






Leave a Reply