Menu Utama

EPU Terbit Video’ Duri Dan Api’ Bakar Semangat Atlet APG

Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri menghasilkan sebuah video berjudul ‘Duri Dan Api’, khusus untuk menyuntik semangat atlet negara yang sedang bersaing dalam temasya Sukan Para ASEAN (APG) Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata selain membakar semangat atlet negara, video hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu juga antara lain bertujuan merakyatkan serta mendekatkan EPU dengan masyarakat.

Beliau berkata video berdasarkan puisi Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang yang ditulis sekitar tahun 60-an itu menggambarkan sebuah perjuangan ‘di depan duri di belakang api’ yang membawa maksud jika hanya berdiam diri tanpa berjuang maka ia diibaratkan seperti hanya menunggu kekalahan.

Atas semangat yang disuntik oleh puisi itu, EPU merasakan intipatinya mampu melonjak semangat atlet negara yang bertanding dalam temasya Sukan Para ASEAN Ke-9, sekali gus dapat berjuang dengan penuh semangat untuk membawa kemenangan buat Negaraku Malaysia, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata selepas Duri Dan Api, EPU merancang menerbitkan lebih banyak video seperti itu di masa akan datang.

Dalam video berdurasi lebih dua minit yang boleh ditonton di https://youtu.be/QF1VOtM6n9E itu, EPU turut menampilkan beberapa atlet dan acara seperti memanah, lawan pedang, bola keranjang serta renang.

APG yang akan berlangsung sehingga 23 Sept membuka tirainya hari ini.

— BERNAMA






Leave a Reply