Menu Utama

Cuba ‘Jerat’ PAS Menjelang Fastaqim 2.0?

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendedahkan kononnya PAS mahu menjalin kerjasama dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dikatakan bakal berlangsung tidak lama lagi.

Namun begitu kata Husam yang kini berjawatan Naib Presiden PAN itu, hasrat PAS itu terbantut ekoran ia tidak dipersetujui oleh beberapa pemimpin veteran kanan PAS yang menentang cadangan itu.

Licik atau tidak, Husam kemudiannya mencetus pandangan kononnya PAS perlu memuktamadkan pendirian sama ada memilih untuk bekerjasama dengan BN atau Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya nanti.

Kononnya, PAS mahu bekerjasama dengan BN, hasrat itu ditolak pemimpin veteran. Namun jika mahu menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan, barisan kepimpinan utama PAS pula yang tidak setuju? Lalu Husam memperguna pemimpin pertengahan untuk menggesa PAS segera menetapkan pendirian?

Sekiranya diikut saja pada ‘permainan’ licik Husam itu, kita dapati beliau sememangnya seorang yang agak hebat apabila dia mampu meletakkan PAS di dalam dilema sama ada untuk memilih BN atau Pakatan Harapan sebagai sekutu PRU.

Namun begitu, kedudukan itu hanya akan berlaku sekiranya kita turut saja kemahuan Husam yang memasang ‘perangkap’nya. Tapi, sekiranya kita kenal siapa PAS dan bagaimana sifat asal parti itu, maka ‘permainan’ Husam itu akan ‘tawar’, tidak berkesan…

Seperti yang kita maklum, PAS sudah bertanding menentang Perikatan sejak zaman pasca merdeka lagi. Sehingga kini apabila Perikatan berubah kepada BN, PAS masih konsisten menentang BN zaman berzaman. Hanya sebentar saja ‘jodoh’ PAS bersama BN dahulu, itu pun tidak lama kemudian ‘bercerai’.

Dari aspek ini, kita dapat melihat pada sifat PAS yang sememangnya ‘tahan lasak’ dan tidak pernah takut untuk kalah pilihan raya. PAS pernah menang hanya satu kerusi Parlimen sahaja dan tidak pernah menguasai majoriti negeri di negara ini, kecuali Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah.

Jika diteliti sifat PAS, parti itu tidak takut untuk bergerak secara solo. Walaupun pernah bersekutu dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pakatan Rakyat dan kini Gagasan Sejahtera, namun ia hanya berlaku atas dasar keperluan trend politik semasa sahaja.

Namun yang paling jelas, PAS tidak takut kalah. PAS lebih rela berpegang pada pendirian dan asas perjuangan mereka berbanding menggadai maruah untuk kembali tunduk kepada DAP dan PAN yang hampir menghancurkan parti itu sebelum ini.

Jika ditanya pada akar umbi PAS yang tegar menyokong parti itu lebih 40 tahun, mereka kini lebih bencikan DAP dan PAN berbanding UMNO atau BN. Kenapa? Kerana mereka mendakwa DAP dan PAN lebih teruk membuli dan hampir merosakkan keseluruhan sistem politik serta perjuangan PAS.

Dari sudut hubungan politik antara PAS dengan UMNO pula, ia ibarat air dengan minyak yang tidak mungkin larut bersama. Namun begitu, air dan minyak itu masih mampu untuk berganding bahu untuk isu-isu yang berkaitan kepentingan agama dan bangsa misalnya.

Disitulah kematangan dua parti terbesar bangsa Melayu yang beragama Islam itu yang terkini. Ia berubah mengikut zaman, corak dan pendekatan kepimpinan kedua-dua belah parti. Tidak statik atau jumud sebagaimana parti lain di negara ini.

Justeru itu, suka penulis mengulaskan tentang ‘perangkap’ Husam itu bahawa jika dirujuk pada sifat sebenar PAS, parti itu dijangka akan kekal istiqamah bersama Gagasan Sejahtera dan jika mana-mana parti mahu bekerjasama dengan PAS, maka mereka perlu menyertai gabungan itu serta mengiktiraf PAS sebagai parti dominan yang mengetuainya.

PAS pada pandangan penulis, tidak akan bergabung dengan BN mahupun Pakatan Harapan. Tapi tidak tahulah sekiranya PAS sanggup khianat pada prinsip perjuangannya, kembali berkiblatkan kuasa dan ‘bertuhankan’ politik, maka mungkin parti itu akan tunduk semula pada DAP, PAN, PPBM dan PKR untuk ‘diperkudakan’ sekali lagi.

Apapun, kita tunggu saja apa kata PAS pada himpunan Fastaqim 2.0 yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mungkin Husam boleh hantar ‘perisik’ dan ‘pasuka propaganda’nya menyusup di himpunan itu? Siapa tahu PAS akan ‘terjerat’ sekali lagi, bukan?






Leave a Reply

Threesome