Menu Utama

Bukan ‘Muhajirin’, Tapi Lebih Mirip Kepada ‘Khawarij’ Atau ‘Munafik’

Presiden parti ‘cap bunga’, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan mengatakan PRU ke-14 ini hanya melibatkan dua pihak sahaja iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan. Dia ‘buang’ PAS jauh ‘hanyut ke Laut China Selatan’.

Dalam nada bongkak, dia menyifatkan orang Melayu UMNO dan PAS yang khianat sepertinya sebagai golongan ‘Muhajirin’ di zaman Rasulullah SAW. Kenyataan itu sekali gus menganggap seolah UMNO dan PAS itu golongan ‘jahiliah’, manakala Pakatan Harapan pula adalah golongan ‘Ansar’.

Penulis melihat kenyataan Muhyddin itu agak melampau bunyinya. Sebagai seorang yang pernah mengaku kononnya ‘totok UMNO’ dan ‘pantang khianat’ kepada parti keramat bangsa itu, retorik politiknya semakin menjelaskan warna sebenar dirinya…

Pada hemat penulis, penguasaan orang Melayu di persada politik negara hanya melibatkan dua parti terbesar yang disertai bangsa Melayu iaitu merujuk kepada UMNO dan PAS, bukan ‘bunga raya’, PAN mahupun PKR.

Fakta berkenaan UMNO dan PAS itu perlu Muhyiddin hadam dan sedar dari khayalannya. Yang keluar dari UMNO dan PAS, yang kemudiannya membentuk PKR, PAN dan ‘cap bunga’, hanyalah peratusan kecil golongan radikal yang selalu buat kacau dalam parti dan oportunis yang gagal mengejar jawatan dalam parti.

Selepas menyingkirkan diri sendiri dengan melanggar disiplin parti yang mengakibatkan mereka tersingkir dipecat, hinggalah mereka yang taksub kepada pemimpin ‘maksum’ dan sekadar mengejar jawatan yang agak mustahil diperoleh di parti lama.

Sebagai contoh, Mat Sabu dan konco-konconya yang menyingkirkan diri dari PAS selepas gagal menang jawatan dalam perebutan kuasa dalam parti telah membentuk PAN, serta menarik segelintir kecil pengikutnya bersama.

Contoh lain, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menubuhkan Keadilan yang kini PKR selepas dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad. Mahathir palitkan Anwar sebagai pemimpin tidak bermoral, melakukan jenayah liwat, berzina, salah guna kuasa dan banyak lagi.

Paling baru, parti ‘cap bunga’ yang tertubuh bila wujud gerakan khianat terhadap UMNO. Disingkirkan dari parti selepas gagal menjayakan ‘coup de tat’ dengan persepsi tidak benar, dan kini bersekongkol dengan DAP. Kita pun kenal siapa segelintir mereka yang khianat bersama Mahathir, anaknya Mukhriz dan Muhyiddin itu…

Sifirnya, didapati setelah dirangkumi semuanya, yang khianat kepada UMNO dan PAS itu hanyalah melibatkan peratusan yang sangat kecil sahaja. Namun sengaja tunjuk ‘ramai’, sebagai retorik untuk mengabui mata rakyat terutama golongan atas pagar.

Walau bagaimanapun, semua itu tidak akan ke mana kerana adalah jelas bahawa kekeliruan dan masalah yang sangat kritikal berlaku di dalam Pakatan Harapan telah membuat majoriti rakyat keliru, celaru dan akhirnya bosan dengan ‘wayang opera’ yang ‘arahan’ DAP.

Pada pandangan penulis, sekiranya watak-watak parti ‘cap bunga’, PAN dan PKR hanyalah sebahagian dari watak-watak ‘wayang opera’ DAP, maka jangan mimpilah untuk memegang tampuk pentadbiran negara!

Tidak perlu pergi jauh, kita rujuk ke negeri Kedah yang majoritinya adalah pengundi Melayu di mana BN kini hanya memegang majoriti mudah menguasai Dewan Undangan Negeri (Dun) itu. Ibaratnya lebih kurang sama dengan peringkat Persekutuan, bukan?

Tradisinya, memang Kedah dikuasai BN dan PAS hanya berkuasa sepenggal di situ. Itupun PAS ketika itu diketuai oleh seorang pemimpin hebat, Almarhum Tan Sri Azizan Razak. Namun sekarang, PAS agak tandus kepimpinan tempatan di sana.

Dengan kepimpinan yang ada, berapa kerusi yang akan dikuasai parti ‘cap bunga’? Hanya harapkan Mukhriz, Azimi Daim dan seorang dua nama kecil tidak dikenali? Rasanya PAN lebih ramai pemimpin dikenali ramai di sana berbanding ‘cap bunga’. PKR dan DAP pula dilihat bagai ‘tenggelam’ di sana selepas ‘bercerai’ dengan PAS.

Justeru, hanya sama ada BN dan PAS sahaja yang dijangka menjadi pilihan rakyat di Kedah, tiada blok parti lain. Muhyiddin boleh berkata demikian dari kaca mata seorang ahli politik yang penuh retorik, namun penulis melihat dari sudut sokongan rakyat di sana.

Berkenaan ‘Muhajirin’ yang dikatakan Muhyiddin itu, penulis melihat ia sebagai satu lagi ungkapan retoriknya. Itu hanya pada kaca mata beliau. Namun dari sudut pemerhatian rakyat, mereka dilihat bagai golongan ‘khawarij’! Penulis yakin Muhyiddin tahu benar asal-usul golongan ‘khawarij’.

Malah jika dirujuk kepada aktivis PAS dan UMNO yang lebih ‘hardcore’, mereka yang khianat kepada perjuangan tersebut juga layak dilabel sebagai golongan ‘munafik’ sebagaimana yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’ laknatullah! Cuma, penulis tidaklah se’hardcore’ itu…

Oleh yang demikian, penulis menyarankan agar Muhyiddin beli sebuah cermin dan lampu ‘spotlight’ yang paling besar dan ‘suluh diri’ depan cermin berkenaan selama yang mungkin. Sedarlah diri dan terimalah hakikat sudah ‘tersalah langkah’…






Leave a Reply