Menu Utama

Tindakan terhadap Guan Eng

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bermesyuarat pada 4 September ini untuk membincangkan bentuk tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Lim Guang Eng.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, tindakan itu ekoran keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang itu memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya mengenai ‘penahanan haram’ oleh SPRM yang merujuk kepada penahanan Exco kerajaan DAP negeri itu, Phee Boon Poh.

Katanya, tempoh 48 jam yang diberikan kepada Setiausaha Agung DAP yang belum di­sahkan jawatan itu untuk berbuat demikian telah pun berakhir dan pihaknya kini akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Ini adalah satu fitnah kepada sebuah agensi kerajaan yang tiada apa-apa kepentingan dalam melaksanakan tugas kami. Oleh itu, kita memandang perkara ini secara serius.

“Kita akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang. Ini adalah hak kami. SPRM akan mengambil tindakan sama ada sivil atau jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, SPRM memberi tem­poh 48 jam kepada Guan Eng untuk memohon maaf ekoran kenyataan yang dibuat itu kerana disifatkan serius dan berunsur fitnah.

Sehubungan itu, suruhanjaya tersebut menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya Guan Eng gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, beliau juga telah membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam kepadanya justeru, semua perkara berkenaan akan diteliti pada masyuarat terbabit. – UTUSAN ONLINE






Leave a Reply

Threesome