Menu Utama

Pakatan Harapan pakatan kebencian

TIDAK salah untuk mengkritik, tidak salah untuk menegur tetapi lakukanlah secara berhemah, profesional dan beradab. Mungkin itulah ayat sesuai bagi memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP yang dari semasa ke semasa terus ‘menggila’ membangkitkan isu yang semata-mata bertujuan menyemai benih kebencian dalam kalangan rakyat kepada kerajaan.

Penulis tidak mengatakan semua isu yang dibangkitkan oleh pakatan pembangkang tidak betul atau boleh dibiarkan tetapi mereka sepatutnya bersikap profesional dan sekali-sekala belajar untuk mencermin diri.

Sebenarnya kita sudah bosan dengan retorik Pakatan Harapan, mereka beria-ia melaungkan slogan mahu selamatkan Malaysia tetapi hakikatnya tindak tanduk mereka sendiri boleh menghancurkan masa depan negara.

Kita memahami mereka sudah semakin kemaruk kuasa dan semakin terdesak dalam usaha untuk memastikan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggaknya ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Mereka sudah tidak peduli apa-apa lagi. Misi menumbangkan BN mesti tercapai dalam apa keadaan sekalipun. Akibat keghairahan itu, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan bagaikan ‘tenggelam punca’. Justeru, mereka menjadikan tohmahan dan fitnah sebagai alat untuk menyerang kerajaan.

Mereka mendakwa mahu menyelamatkan negara tetapi pada masa sama mereka melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan negara. Mereka mendakwa mahu meme­rangi rasuah dan mendesak mana-mana pemimpin kerajaan yang didakwa atau disiasat bercuti, tetapi pemimpin mereka sendiri tidak berbuat demikian.

Mereka menentang pelbagai projek kerajaan yang melibatkan pelabur asing dengan menuduh kerajaan mahu menjual negara, tetapi mereka sendiri sanggup bersekongkol dengan media-media asing untuk melemparkan fitnah kepada kerajaan.

Mereka menuduh Kerajaan Pusat tidak pandai mentadbir dan menguruskan negara, tetapi negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka berhadapan dengan pelbagai kemelut dan masalah.

Pemimpin-pemimpin mereka menuduh pemimpin-pemimpin kerajaan hipokrit, tetapi mereka sendiri bersandiwara apabila musuh ketat boleh menjadi kawan semata-mata mahu merebut kuasa politik.

Berdasarkan apa yang disenaraikan adalah jelas, Pakatan Harapan hakikatnya bagaikan sekumpulan ‘ketam yang mahu mengajar anak belajar lurus’. Isu-isu yang mereka bangkitkan bukanlah untuk demi kepentingan rakyat tetapi sebaliknya mahu memperdaya rakyat supaya menyokong mereka dalam PRU akan datang. Sebab itulah mereka sanggup mengamalkan politik kebencian. Mereka mahu rakyat membenci kerajaan dan apabila usaha itu berjaya maka tercapai agenda politik mereka untuk menawan Putrajaya.

Pakatan Harapan memanipulasikan sesuatu isu habis-habisan. Sama ada isu yang mereka bangkitkan itu betul atau tidak, benar atau palsu, ia soal kedua, apa yang penting pemikiran rakyat perlu diracuni supaya membenci kerajaan.

Setakat ini tidak ada satupun usaha kerajaan mendapat pujian Pakatan Harapan apatah lagi sejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup ‘menyembah’ DAP semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir yang dahulu pernah menjadi mangsa politik kebencian mainan parti-parti pembangkang, kini sudah menggunakan pendekatan yang sama kerana terlalu marah kepada kerajaan BN.

Oleh itu kita tidak perlu terkejut jika Pakatan Harapan akan terus menggunakan politik kebencian sebagai ‘senjata’ bagi meraih sokongan. Ia memandangkan itu sahaja modal yang mereka ada selepas segala pembohongan dan fitnah mereka mampu ditangani oleh kerajaan.

Berikutan itulah mereka sanggup melakukan apa sahaja pendekatan politik termasuk matlamat menghalalkan cara bagi memastikan impian mereka untuk menawan Putrajaya dalam PRU-14 nanti tercapai. Tetapi hakikatnya mereka lupa atau sengaja melupakan ‘di tubuh’ mereka sendiri terdapat ‘pelbagai penyakit’.

Apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang sudah menjadi bukti, hakikatnya pemimpin-pemimpin pembangkang tidaklah sehebat mana atau bukanlah pentadbir yang cekap. Sebaliknya mereka hanyalah sekelompok ahli politik yang berjuang semata-mata untuk meraih kuasa tidak kira dengan apa cara sekalipun.

Sebab itulah mereka menggunakan istilah ‘Pakatan’ dan memetik kata-kata Dr. Mahathir satu ketika dahulu: “Orang kita kalau ‘pakat-pakat’ ni nak buat jahat, jadi pilihlah barisan…lurus.”

Zulkiflee Bakar
Utusan






Leave a Reply