Menu Utama

Makna sekeping gambar

Sekeping gambar yang disebarkan minggu lalu menjadi bahan bualan dan perdebatan sehingga kini. Gambar ziarah pemimpin tertinggi PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke atas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibaca bukan ziarah biasa.

Banyak maksud tersirat. Sarat dengan kepentingan politik walaupun ziarah seperti ini adalah lumrah dan di­tuntut dalam Islam.

Aroma politik dirasai lebih dominan kerana yang berziarah itu ialah Azmin. Menteri Besar Selangor ini di­kenal sebagai politikus yang licik gerak politiknya. Ada sahaja maksud tersembunyi apabila datangnya daripada Azmin.

Bersamanya pula ialah Wan Azizah, Presiden PKR yang diketahui umum berbeza kem dengan timbalannya itu. Umum pun tahu siapa yang lebih dominan, Azmin atau Wan Azizah.

Azmin adalah segelintir pimpinan tertinggi PKR yang masih mahu bersabahat dengan Pas.

Sebabnya, Pas menjadi penyambung nyawa kepada ke­dudukan beliau. Tanpa Pas, siapalah Azmin. Pas dalam keadaan sekarang bahkan lebih penting daripada partinya sendiri.

Azmin pula baru sahaja dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan. Pakatan diketuai DAP yang sudah sepakat untuk tiada hubungan dengan Pas. Apa yang dilakukan Azmin justeru menongkah arus.

PAN, parti serpihan Pas apatah lagi DAP saban waktu meratah Pas. Ada sahaja yang tidak kena dengan Pas yang mengamalkan politik matang walaupun kesannya menguntungkan kerajaan PKR Selangor.

Ziarah Azmin ini pada Ahad lalu kemudian disensasikan dengan hembusan cerita kerjasama PKR – Pas di beberapa negeri termasuk Kedah dan Kelantan selain Selangor. Tetapi tentu sahaja sukar untuk strategi ini menjadi kenyataan.

Pertimbangan

PKR Kelantan seperti di­jangka, menarik balik ara­han peletakan jawatan se­mua lantikan politik yang pada awalnya berkuat kuasa serta-merta Mei lalu.

Akhirnya kepentingan ke­kua­saan juga yang menjadi pertimbangan. Politik ma­tang juga yang akhirnya me­nang.

Prinsip pun entah ke ma­na. Dalam Pakatan Hara­pan, politiking sesama parti yang digembar-gemburkan se­bagai ‘sama rata dan sak­sama’ begitu kental.

Sama-sama bergasak. Le­bih ba­nyak cerita per­pe­­ca­han ber­banding penya­tuan.Yang berkuasa dalam Pa­katan Harapan bukan Azmin apatah lagi Wan Azizah yang diberikan jawatan ‘pemanas’ sebagai Presiden pakatan.

Tidak hairanlah DAP, PAN dan PPBM hanya meman­dang sinis gerakan Azmin itu. Dan pada sama, Pas secara rasmi telah menggempur kubu ‘maruah’ PKR di Permatang Pauh.

Pas tanpa menoleh ke belakang telah melancarkan jentera pilihan raya Permatang Pauh, kawasan yang menjadi milik keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu.

Jadi, yang kelihatan sekarang ialah PKR seperti gila talak. Tanpa sedar tindakan Azmin ini telah mengiktiraf kekuasaan Pas. Ke lautlah semua kaji selidik dan analisis yang merendah-rendahkan strategi dan arah tuju Pas.

Yang kelihatan matang ialah Pas. Dengan UMNO pun berkawan, dengan PKR juga berteman. Ziarah Azmin kelmarin secara tidak langsung telah memberi pelajaran kepada Pakatan Harapan tentang konsep Gagasan Sejah­tera anjuran Pas itu.

Tiada lagi caci maki sebagaimana dahulu apabila Pas mahu berkawan dengan UMNO. Akan terkunci mulut mereka apabila kelak Pas terus mengambil langkah menjalin hubungan dengan UMNO. Bayangkan fitnah keterlaluan Pas sebagai pemakan dedak UMNO.

Yang lebih kelihatan ialah betapa perilaku khianat meng­khianati itu terus menyubur dalam Pakatan Ha­rapan. Mereka jenamakan hal itu sebagai demokrasi sihat. Dan, akibat ‘demokrasi sihat’ ini Pakatan Rakyat akhirnya berkubur.

Dulu kita lihat bagaimana DAP mengkhianati Pas, be­gitu juga PKR. Adalah tidak masuk akal apabila Ahli Par­limen Pas sesuka hati diterima untuk melompat ke parti sekutu.

Jangan cerita kisah-kisah pengkhianatan PAN. Terlalu banyak, tidak terhitung jumlahnya. Tidak terbayang bagaimana Pas sekian lama menderita sakit dikhianati.

Kini PKR melalui Azmin dan Wan Azizah menyambung kisah khianat mengkhianati itu. Bayangkan di manakah hendak diletak air muka DAP apatah lagi PAN.

Di mata Azmin, PAN mahupun PPBM yang sebelum ini diberi tangungjawab untuk menjalin hubungan dengan Pas tidak lebih hanya parti simpanan.

Gambar yang disiarkan dalam Facebook Abdul Hadi itu menceritakan segala-galanya. Gambar ini dalam konteks politik nasional memberi mesej bahawa politik matang telah merobek-robek wibawa politik harapan.

Zulkefli Hamzah
Utusan






Satu Komen to Makna sekeping gambar

  1. Meriam Buluh says:

    Tanpa PAS dalam pakatan PKR akan berkubur. Keranda sudah ada, tunggu masa untuk dikapankan dan dikuburkan selepas PRU14 nanti.

Leave a Reply