Menu Utama

Guan Eng perlu lebih banyak 
belajar tentang tanggungjawab

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disifatkan sebagai tidak memahami tugas dan tanggungjawabnya apabila mendakwa ‘tidak mempunyai kuasa’ terhadap kilang haram di negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Guan Eng sebenarnya berhak mengambil tindakan menerusi agensi yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri seperti Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan negeri boleh arah pentadbir tanah daerah untuk ambil tindakan terhadap mana-mana kilang yang dibangunkan secara haram di negeri berkenaan.

“Kalau dah dia kata tak ada kuasa untuk ambil apa-apa tindakan terhadap kilang-kilang haram yang berleluasa di Pulau Pinang, maknanya Ke­tua Menteri tak faham apa tugas dan tanggungjawabnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pembinaan Taman Komuniti Kampung Melayu Kluang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Esa Ahmad dan Yang Dipertua Maj­lis Perbandaran Kluang (MPK), Nasri Md. Ali.

Semalam, Guan Eng mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang ‘tidak mempunyai kuasa’ untuk menghentikan operasi kilang memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti yang didakwa tidak memiliki lesen sejak 10 tahun lalu.

Justeru, Halimah meminta Guan Eng supaya lebih banyak belajar tentang tanggungjawabnya sebagai ke­tua kerajaan negeri kerana beliau juga boleh meminta agensi utiliti agar tidak me­nyalurkan kemudahan elektrik, air dan sebagainya sekiranya sesebuah kilang di negeri berkenaan beroperasi secara haram.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut mempelawa Guan Eng belajar daripada kerajaan negeri Johor yang tegas terhadap operasi kilang haram di negeri ini.

“Tengok sahaja kawasan Kluang, apabila ada kilang haram dibangunkan pihak pentadbir tanah akan ambil tindakan ke­rana itu adalah kuasa mereka sebab jika ia dibangunkan atas tanah sebagai kilang haram, maknanya dia tidak melalui apa-apa proses kelulusan,” katanya.

Utusan






Satu Komen to Guan Eng perlu lebih banyak 
belajar tentang tanggungjawab

  1. TORATORA says:

    Bravo Kak Limah..belasah LGE..bagi alasan tak senonoh asal boleh jawab je.

Leave a Reply