Menu Utama

‘Sekadar berdegar-degar tetapi pengecut

MANIFESTO bermaksud pengisytiharan kepada pihak awam berkenaan sesebuah prinsip dan hasrat.

Kalau mahu diambil kira, slogan Cekap Akauntabiliti Telus (CAT) diperkenalkan Ketua Menteri kerajaan DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng sejak ambil alih negeri itu pada 2008 juga satu manifesto. Ya, sudah cukup kuat memerangi rasuah.

Tapi malangnya slogan yang dicanangkan itu semakin pincang dan meliar retoriknya. Ini termasuklah kegagalan Pulau Pinang baru-baru ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Guan Eng sendiri tidak berani menandatangani perjanjian itu. Ini kerana dia sendiri terlibat dalam kes salah guna kuasa dan rasuah serta sedang menanti dibicarakan di mahkamah.

Berdegar-degarlah kononnya Pakatan Harapan mahu meme­rangi isu rasuah dalam tempoh 100 hari jika diberi kuasa, namun segalanya hampas belaka. Dek gagal tandatangani IBR, nampaknya hipokrasi dan dwistandard masih merajai parti-parti pakatan itu.

Dan memang benarlah pe­rasaan yang dikongsi oleh seorang lagi ahli MT yang juga Ke­tua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang hairan dengan tindak tanduk kerajaan Pulau Pinang itu.

Guan Eng, kata Idris, seolah-olah memandang sepi inisiatif keperluan ikrar itu dengan alasan yang dangkal – kononnya tidak mahu menandatangani IBR hanya kerana SPRM tidak menghantar surat kepada mereka.

“Nampak sangat kerajaan Pulau Pinang cuba meminggirkan diri daripada berikrar bebas ra­suah,” katanya kepada akhbar ini kelmarin.

Negeri-negeri lain setakat ini telah tandatangani IBR. Kelantan dan Selangor turut menyatakan kesedia­an itu. Adakah manifesto tempoh hari bukan satu perjanjian?

Pulau Pinang dengarlah apa yang ditegaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad:

“Jangan hanya bercakap berdegar-degar mengenai isu ra­suah dan salah guna kuasa.

“Minta SPRM ambil tindakan dan pelbagai lagi, tetapi mereka sendiri tidak mahu nyatakan ikrar bahawa mereka sendiri ada komitmen serta keberanian untuk menyatakan mereka tolak dan benci rasuah.”

Zulkifli Jalil
Utusan






Leave a Reply