Menu Utama

Parlimen Mahasiswa sedia jadi calon, sokong BN

Disebalik dakwaan kononnya golongan muda terutama mahasiswa tidak lagi menyokong Barisan Nasional (BN), perwakilan Parlimen Mahasiswa tampil mempertahankan kepimpinan BN.

Malahan mereka sedia untuk menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mewakili BN sekiranya diberi peluang untuk memastikan Malaysia terus kekal aman dan maju.

“Kenapa saya percaya kepada BN? Sebabnya kerana cemuhan yang dilemparkan kepada kepimpinan BN hanya bersifat spekulasi.

“Sebagai mahasiswa kita berfikir apa yang betul, apa yang salah. Dan kita kena berdasarkan fakta serta statistik. Bukan hanya percaya sahaja apa yang disebarkan di media sosial,” kata Ding Chin Wei, 23.

Menurut pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia itu, mahasiswa diberikan kelebihan untuk berfikir dan baginya BN sentiasa melindungi pelbagai aspek terutama keharmonian antara kaum dan agama.

Sementara itu, Maisarah Mohamed Zakaria, 23, berkata, sokongannya terhadap BN dibuat berdasarkan pelbagai usaha yang kerajaan lakukan untuk rakyat dan negara.

“Pengalaman sebagai mahasiswa selama empat tahun, saya sendiri berhadapan pihak kerajaan dan golongan yang cuba memberi provokasi dan persepsi salah kepada kerajaan BN.

“Ternyata mereka mahu menyuntik perasaan tidak senang golongan muda dan mahasiswa hanya untuk mengelirukan mereka tentang apa kerajaan BN usahakan,” kata mahasiswa Universiti Putra Malaysia itu.

Sementara itu pelajar Universiti Malaya, S. Turiya Deva, 23 berkata, ramai mahasiswa berpotensi untuk menjadi calon dan berharap Parlimen Mahasiswa menjadi platform untuk memilih pemimpin masa hadapan.

“Golongan muda iaitu belia dan mahasiswa perlukan pemimpin dan wakil dalam kerajaan untuk menyuarakan hasarat mereka di dalam Dewan Rakyat.

“Jika perwakilan Parlimen Mahasiswa dipilih sebagai calon PRU14 maka TN50 boleh direalisasikan,” kata Thuriya

Perwakilan Universiti Malaysia Terengganu, Lee Jie Xin, 22 pula menegaskan tidak benar kebanyakan golongan muda dan mahasiswa menentang dan membenci kerajaan BN.

Jelasnya, kerajaan BN telah nelakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Pada pandangan saya golongan muda masih menyokong BN. Ini berkaitan masa hadapan negara. Kita mementingkan masa depan Malaysia.

“Kerajaan BN melakukan yang terbaik untuk rakyat. Lihatlah Parlimen Mahasiswa ini yang mewakili memberi ruang kepada golongan muda pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain menyuarakan pendapat dan pandangan mereka di Dewan Rakyat,” kata Jie Xin.

Muhammad Syafiq Bin Ahmad Hisham, 24 pula berpandangan pemilihan mahasiswa sebagai wakil rakyat mampu menjadi agen kepada perubahan terhadap rakyat dan negara.

“Mahasiswa bersedia untuk menjadi calon BN. Pemilihan ini menunjukan bahawa kerajaan memberi kepercayaan dan mendengar suara anak muda serta sebagai langkah menjayakan Transformasi Nasional 2050.

“Hakikatnya belia masih yakin kepada kerajaan BN yang berupaya menstabilkan negara. Apa yang kita lihat di media sosial kononnya anak muda menentang kerajaan BN hanyalah permainan persepsi.

Jelas pelajar Universiti Malaysia Sarawak itu, mahasiswa yang sentiasa berfikir dapat melihat permainan yang dilakukan oleh setengah-setengah pihak untuk di media sosial untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan BN.

Parlimen Mahasiswa disertai 209 pemimpin pelajar daripada 20 institusi pengajian tinggi awam dan lima institusi pengajian tinggi swasta.

Persidangan dua hari bermula Selasa lalu membahaskan usul mereka bentuk pendidikan tinggi (Redesigning Higher Education) dan perlaksanaan Transformasi Nasional 2050.

Persidangan Parlimen Mahasiswa 2017 dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kesemua pelajar bertolak pulang ke universiti masing-masing hari ini. – UTUSAN ONLINE






Leave a Reply

Threesome