Menu Utama

Mahathir bakal bawa kehancuran kepada Pakatan Harapan

Pemuda UMNO Kedah percaya Pakatan Harapan yang diketuai DAP akan hancur kerana kecelaruan yang dibawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ahli keluarganya.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin ber­kata, tindakan terdesak Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) itu yang sanggup membuat pusingan U iaitu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, akan membawa padah kepada struktur baharu yang dibentuk pakatan itu.

Menurut Shaiful Hazizy, pihaknya yakin kegagalan Pakatan Harapan untuk menamakan calon Perdana Menteri yang realistik membuktikan masih wujud prasangka dan ketidakpercayaan antara parti-parti yang membentuk pakatan itu.

“Umum sedia maklum bahawa kemungkinan Anwar menjadi Perdana Menteri adalah begitu kecil ke­rana faktor tempoh hukuman dan usia. Kita yakin kewujudan ‘Perdana Menteri Transit’ menunjukkan belum wujud konsensus yang serius antara komponen Pakatan Harapan.

“Hakikatnya Pakatan Harapan seharusnya menunjukkan imej yang stabil dan persefahaman terutama ba­yangan kerajaan alternatif yang baik kepada rakyat. Mereka juga perlu memberi keyakinan kerajaan alternatif tidak akan goyah serta mampu menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pakatan Harapan semalam mengumumkan struktur kepemimpinan baharu iaitu Anwar sebagai Ketua Umum manakala Dr. Mahathir selaku Pengerusi.

Kata Shaiful Hazizy, pihaknya melihat pembentukan struktur baharu itu sebagai keputusan politik yang paling rapuh dibuat Pakatan Harapan.

“Pada masa sama, kita yakin DAP akan kekal menjadi ‘broker kuasa’ pa­ling berpengaruh dalam pakatan itu dan persetujuan untuk tetap meletakkan Anwar sebagai ketua manakala Dr. Mahathir menjadi pengerusi hanya untuk membeli keyakinan politik Melayu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Jika mereka berpeluang membentuk kerajaan, maka DAP akan menjadi pembuat keputusan paling berpe­ngaruh. Kita juga meragui komitmen pakatan itu untuk membebaskan semua tahanan politik yang mana mereka tahu bahawa Dr. Mahathir sendiri pernah memenjarakan ratusan musuh politiknya semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun,” ujarnya.

Tambahnya, Pemuda UMNO negeri konsisten menyatakan bahawa komitmen Pakatan Harapan semalam hanya satu kenyataan politik bersifat kitar semula dan penuh retorik.

Utusan






Leave a Reply