Menu Utama

Krisis Perlembagaan 1988: Tanya Bekas Hakim, Bukan Bekas Peguam Negara

Penulis tidak hairan apabila sebuah portal pro-pembangkang bersusah payah mencari bekas Peguam Negara untuk bertanyakan soal Krisis Perlembagaan 1988. Nampak jelas ia bagaikan usaha untuk membela imej bekas Perdana Menteri tersebut.

Di Malaysia, kita mengamalkan sistem demokrasi yang sangat berkait rapat dengan konsep pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman. Konsep itu adalah bagi menjamin prinsip keadilan dan kawalan kuasa di Malaysia terjamin. Ketiga-tiga badan tersebut terletak di bawah kuasa Yang DiPertuan Agong.

Kita pun maklum bahawa peguam negara bukan merupakan sebahagian dari badan kehakiman negara. Jawatan tersebut adalah sebahagian dari badan eksekutif negara yang diketuai Perdana Menteri.

Jadi, tidak hairanlah jika bekas peguam negara membela bekas Perdana Menteri itu walaupun dia menafikan kenyataan pada portal tersebut adalah bertujuan sedemikian. Lagipun, bukankah dia yang dipertanggungjawabkan menyediakan dokumen dan mengendalikan siasatan bagi pihak bekas Perdana Menteri itu?

Penulis sedikitpun tidak menyalahkan bekas Peguam Negara tersebut. Dia hanya menjalankan tugas seperti yang diamanahkan Perdana Menteri. Itu menjadi tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.

Namun, dia beranggapan kononnya Krisis Perlembagaan 1988 berpunca dari hakim-hakim di negara ini di zaman tersebut, maka penulis sangat sangsi dengan kenyataan tersebut yang berunsur ‘bias’ atau berat sebelah, sekaligus menyalahi prinsip keadilan sosial.

Kononnya ia berpunca dari surat dari jabatan kehakiman kepada Yang DiPertuan Agong? Apa kandungannya? Ketidakpuasan hati hakim-hakim tentang tindakan badan legislatif yang menekan, memperlekeh dan cuba mencampuri urusan jabatan kehakiman yang sepatutnya bebas dari sebarang campur tangan kuasa badan lain, bukan?

Jadi, surat tersebut adalah berdasarkan reaksi balas. Reaksi balas kepada tindakan siapa? Reaksi balas terhadap badan eksekutif bukan? Ia adalah ’cause and effect’. Boleh perincikan kenapa hakim-hakim terpaksa bersidang sehingga menghasilkan surat tersebut?

Adakah ia berkaitan tentang tidak puas hati bekas Perdana Menteri berhubung kes John Berthelsen dan Raphael Pura? Kes UMNO diharamkan 1987? Bagaimana tiba-tiba boleh muncul kes propaganda Prebet Adam?

Siapa pula bermain propaganda himpunan ‘setia kepada pemimpin’ di seluruh negara sedangkan media arus perdana ketika itu aktif menyiarkan laporan-laporan salah laku kerabat-kerabat diRaja? Cuba kaji balik tindakan yang diambil untuk mengabui mata rakyat ketika Krisis Perlembagaan 1988 berlaku…

Pada pandangan penulis, adalah tidak adil untuk mendengar dari sebelah pihak sahaja, apatah lagi pertanyaan tersebut diajukan kepada pihak yang berada di dalam pasukan yang sama. Sedangkan pasukan lawannya pernah dihadiahkan ‘ex-gratia’ kepada bekas hakim setelah dipecat oleh ‘rejim diktator’ tersebut.

Sewajarnya kita mendapatkan kenyataan dari hakim-hakim yang terlibat bersidang dalam mesyuarat tertinggi badan kehakiman ketika itu. Jika masih ada lagi yang hidup, sepatutnya mereka menjelaskan apakah bentuk ketidakpuasan hati mereka sehingga dikarang surat aduan kepada Yang DiPertuan Agong.

Penulis yakin, hakim-hakim terbabit mempunyai hujah-hujah yang jauh lebih konkrit untuk justifikasi dan mewajarkan tindakan mengutus surat itu. Jika tidak, takkanlah tiba-tiba saja mereka mahu mengutus surat berkenaan, bukan?

Tentang kenyataan bekas Perdana Menteri yang kononnya mendakwa krisis itu berpunca dari titah Yang DiPertuan Agong, penulis berpandangan bahawa bolehlah diabaikan saja. Pendeklamasi ‘Melayu Mudah Lupa’ itu mungkin kini benar-benar sudah ‘hilang memori’nya.

Memandangkan bekas Peguam Negara pun sudah mengesahkan krisis tersebut adalah berkait dengan surat Ketua Hakim Negara itu, maka jelas bahawa alasan isu ‘surat aduan mengenai bunyi bising oleh kontraktor’ yang diutarakan warga emas itu tidak relevan sama sekali.

Cuma saranan penulis, pertahankanlah konsep ‘separation of powers’ di negara kita walaupun ia telah dicemari oleh bekas Perdana Menteri tersebut. Jika boleh dikembalikan kuasa kehakiman persekutuan yang ‘hilang’, itu lebih baik rasanya…






Leave a Reply