Menu Utama

KAWALAN TERHADAP AKTIVITI EVANGELISME

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS ITTIHAD UMMAH
18 JULAI 2017

KAWALAN TERHADAP AKTIVITI EVANGELISME

Menyoroti isu evangelisme yang sedang hangat diperdebatkan, Majlis Ittihad Ummah (Itiihad) berpendapat setiap pihak perlu kembali kepada konsep kebebasan beragama yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana kini pelbagai tafsiran dibuat untuk mengabsahkan pendirian masing-masing tentang hak kebebasan beragama dan kesamarataan yang dijamin oleh undang-undang negara, maka konsep kebebasan beragama perlu dilihat daripada dua sudut, iaitu peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sejarah perundangan tanah air.

Pada sisi pertama, Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan konsep kebebasan beragama dalam tiga aspek: pertama, kebebasan untuk menganuti dan mengamalkan agama secara bersyarat seperti termaktub dalam Perkara 11(1); kedua, kawalan dan sekatan untuk mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut agama Islam seperti diperuntukkan dalam Perkara 11(4); ketiga, larangan terhadap perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am berhubungan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral seperti dinyatakan dalam Perkara 11(5).

Manakala Perkara 11(3) Perlembagaan menentukan bahawa kebebasan untuk menganut dan mengamalkan agama itu termasuklah untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri; menubuhkan atau menyelenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang serta tertakluk pada peruntukan lain yang terdapat di dalam Perlembagaan.

Sudut yang kedua pula, konsep kebebasan beragama ini perlu dilihat secara holistik, bukan setakat melalui prinsip atau peruntukan perlembagaan seperti di atas, bahkan kepada konsep kedaulatan tanah air itu sendiri. Ini disebabkan, konsep kedaulatan inilah sumber kedaulatan undang-undang (rule of law). Tanpa kedaulatan watan, Perlembagaan hilang daulatnya.

Perlembagaan berdaulat kerana ia dipersetujukan oleh Raja-raja Melayu untuk menjadi Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, untuk menilai tahap kebebasan yang diberikan kepada agama selain Islam, terlebih dahulu perlu diperhatikan dan dipegang berkenaan kedudukan istimewa agama Islam dan hak kebebasan beragama penganut Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan istimewa ini dibenarkan oleh Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama,…”

Hak kebebasan beragama kepada penganut agama Islam adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Kedudukan ini sudah terpelihara sebelum kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia pada tahun 1963. Bahkan kedudukan Islam sebagai agama watan (law of the land) adalah legasi Kesultanan Melayu Melaka dan salah satu jati diri Tanah Melayu, selain ianya adalah aqidah Raja-raja Melayu.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa:
Raja-raja Melayu adalah ketua agama Islam, termasuklah Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi negeri-negeri tiada beraja.
Yang di-Pertuan Agong melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam.
Islam adalah ciri kedaulatan Malaysia.
Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Doktrin dan ajaran agama lain tidak boleh disebarkan dalam kalangan orang-orang Islam dan orang-orang Melayu.
Orang Islam dibenarkan untuk menyebarkan ajaran dan kefahaman Islam kepada sesiapa sahaja di Malaysia.
Orang-orang Islam tidak boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agama Islam.
Hanya orang-orang dan institusi Islam yang boleh menerima peruntukan khas daripada Persekutuan dan Negeri bagi maksud penubuhan, penyelenggaraan atau bantuan pendidikan secara khusus bagi orang-orang Islam.
Tidak dibenarkan kebebasan beragama yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Oleh demikian, kebebasan beragama yang diberikan kepada penganut dan ajaran agama selain Islam tidak boleh memprejudiskan kedudukan-kedudukan dan hak-hak di atas yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, pendekatan secara pengharmonian perlu diguna pakai agar pengamalan ajaran agama lain itu tidak bercanggah dengan kebebasan untuk mengamalkan agama yang dijamin bagi orang-orang Islam.

Kesimpulannya, konsep kebebasan beragama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dilihat secara holistik, ia bertujuan untuk memelihara unsur-unsur watan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu bersekutu dengan Sabah dan Sarawak, peruntukan-peruntukan khas telah diadakan bagi penduduk-penduduk Sabah dan Sarawak sebagai syarat pemakaian peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ittihad menyeru semua warga Malaysia tanpa mengira apa sahaja agama mereka, supaya berpegang dengan ‘hak kebebasan beragama’ sebagaimana yang telah digariskan oleh Perlembagaan, bukan ‘hak kebebasan beragama’ yang ditafsirkan sesuka hati tanpa menghiraukan sumber kedaulatan undang-undang (rule of law) yang menjadi premis asas Perlembagaan yang dijunjung.

Ittihad juga berpendirian, sebarang aktiviti dan gerakan oleh mana-mana pihak yang bertujuan untuk memprejudiskan konsep kedaulatan dan kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah kegiatan haram dan mesti dibasmi hingga peringkat akar umbi kerana ia adalah jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ittihad juga menggesa agar pelaksanaan secara perundangan terhadap peruntukan Perkara 11 Perlembagaan di Jabatan Agama Islam Negeri diperkasakan sewajarnya agar keharmonian hidup rakyat Malaysia dapat dipertahankan sewajarnya di bawah teduhan Perlembagaan Persekutuan yang berpaksikan konsep kedaulatan watan yang sahih.

DATUK WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Ketua Lajnah Kajian Strategik
Majlis Ittihad Ummah
18 Julai 2017






Leave a Reply

Threesome