Menu Utama

Jika Nak Jadi Calon PRU, Terus Terang Sajalah…

Siapa yang kenal dengan sikap dan perlakuan orang tua-tua, mungkin akan mengakui bahawa sebahagian dari mereka suka ‘cakap terbalik’. Warga emas di utara khususnya, memang suka berkias secara bertentangan dengan kemahuannya.

Misalnya, jika mereka mahukan sesuatu dan ditanya sama ada mereka mahu atau tidak benda itu, mereka akan kata ‘tidak’. Padahal, sebenarnya mereka mahu. Bila dibelikan, maka mereka akan kata, ‘tak payah la’. Tapi dalam hatinya bukan main gembira!

Pada pandangan penulis, seorang tua di negeri Kedah juga mempunyai sikap seperti itu. Tiba-tiba saja bercakap kalau boleh dia tidak mahu menjadi calon ‘kecuali’ keadaan mendesaknya untuk berbuat demikian. Begitu ‘bahasa’ orang tua-tua…

Padahal, sebelum ini heboh satu dunia apabila dia selamba berkata tidak menolak untuk menjadi Perdana Menteri semula dan sekali lagi! Bagaimana hendak jadi Perdana Menteri jika tidak bertanding pilihan raya? Perlembagaan boleh lantik begitu sahajakah?

Kenapa pula perlu ada terma ‘kecuali terdesak’? Dalam ayatnya, dia menggunakan perkataan ‘cuma jika terdesak’ yang sama pengertiannya. Boleh ada pula ‘kecuali’ dalam keadaan tertentu yang mendesak untuk dia bertanding?

Pada hemat penulis, dia berkemungkinan besar sangat-sangat berhasrat untuk bertanding sebagai calon Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti. Mungkin dia enggan untuk berterus terang. Nanti orang kata dia ‘gelojoh’ dan kemaruk kuasa pula, bukan?

Berkemungkinan besar dia cuba meninjau peluang dan reaksi dari orang ramai. Kemungkinan reaksinya ialah orang akan bermati-matian memujuknya bertanding dengan pelbagai alasan. Kemungkinan juga orang buat tidak peduli dan setuju dia tidak perlu bertanding.

Jika orang pujuk dia bertanding, maka dia akan lega dan berkemungkinan besar dia akan memilih diri sendiri sebagai calon. Jika responnya orang tidak peduli, maka dia akan bermasalah besar dan ia mungkin menandakan dia sudah tidak berpengaruh.

Untuk mengatasi masalah itu, maka mungkin dia akan cuba ‘mencipta keadaan yang mendesak’. Dia mungkin akan ‘buat perangai’, ‘meragam’, ‘merajuk’ dan seumpamanya supaya dia akan menjadi calon.

Kenapa dia mahu jadi calon? Pada penulis, untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Jika dia menjadi calon kerusi Parlimen dan menang, maka mungkin juga kerusi Perdana Menteri ‘sementara’ akan menjadi miliknya.

Lagi pun, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukannya layak untuk menjadi calon atau Perdana Menteri berdasarkan hukuman penjara yang dia terima. Jika terlepas ‘kandang’ pun nanti, Anwar perlu tunggu 2 tahun sebelum bertanding, bukan?

Jadi dalam tempoh itu, jika dia menjadi Perdana Menteri semula, maka cerahlah masa depan untuk menjayakan ‘master plan’nya. Bila ‘kukubesi’ kembali bertakhta, maka segalanya dihujung jari. Ketua Hakim Negara lagikan dipecat, inikan pula “bekas banduan”…

Plot episod seterusnya mungkin akan keluar dialog ‘dia sudah terlalu tua’, ‘dia bekas banduan jenayah’, ‘dia pernah terbukti salah guna kuasa’ dan mungkin ada lagi ‘kisah gelap’ yang lama akan tiba-tiba terbit semula. Dan babak seterusnya penulis yakin ramai yang dapat menjangka apa yang akan berlaku.

Justeru itu, penulis mencadangkan supaya dia lebih berterus terang dan tidak terlalu beretorik. Orang sudah muak dengan ‘politik purba’. Cubalah guna pendekatan baru. Kini kita menuju TN50, MAS pun sudah jadi MAB, janganlah guna mesin taip lagi…






Leave a Reply

Threesome