Menu Utama

Jika Husam Di Kelantan, Siapa Pula Pilihan DAP Di Kedah?

Baru-baru ini, De Facto Pakatan Harapan, Lim Kit Siang mengumumkan nama Datuk Husam Musa sebagai bakal Menteri Besar Kelantan dalam menuju cita gabungan DAP, PPBM, PKR dan PAN untuk menjajah Kelantan dari tangan PAS.

Menyamakan Husam sebagai ‘role model’ selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Kit Siang seolah-olah membayangkan kedudukan Husam adalah setaraf dengan bekas Mursyidul Am PAS tersebut.

Penulis geleng kepala dengan ungkapan ‘role model’ yang diberikan kepada Husam itu. Pada penulis, perbandingan antara Husam dengan arwah Nik Aziz layaknya bagai langit dan bumi, langsung tiada persamaan di antara mereka.

Meskipun belum berjaya menawan Kelantan, nampaknya DAP sudah menunjukkan belangnya sebagai ketua bagi Pakatan Harapan, bukan? Tidakkah pengumuman Kit Siang itu akan menyinggung parti lain?

Penulis faham, Pakatan Harapan belum mampu memberikan nama calon Perdana Menteri bagi pihak mereka hingga kini. Dijangka, jika benar pun Allah takdirkan mereka menguasai kerajaan pusat nanti, ‘perang besar’ bakal meletus di antara parti-parti pembangkang itu.

Namun begitu, sekiranya DAP berani mengumumkan nama calon Menteri Besar Kelantan, alang-alangnya wajarlah Kit Siang umumkan sekali nama calon Menteri Besar Kedah. Setahu penulis, Kedah merupakan sasaran untuk dijajah Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti.

Siapa agaknya calon Menteri Besar Kedah bagi Pakatan Harapan? Adalah Dr Ismail Salleh yang merupakan Pengerusi PAN Negeri? Atau Timbalannya, Datuk Phahrolrazi Zawawi? Atau Datuk Azimi Daim, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah? Atau Datuk Mahfuz Omar yang dilihat tiada harapan untuk dicalonkan semula oleh PAS?

Pada pandangan penulis, hampir pasti bahawa calon Menteri Besar Kedah bagi PAS adalah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi yang merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah. Itu amalan biasa. Sebagaimana arwah Tan Sri Azizan Razak sebelum ini, penyandang jawatan itulah yang akan dilantik menjadi Menteri Besar Kedah jika PAS menguasai Kedah.

Manakala bagi BN pula, maka sudah pastinya Dato’ Seri Ahmad Bashah merupakan pemimpin yang akan memegang jawatan tersebut sekiranya BN kekal mempertahankan majoriti di negeri itu.

Menteri Besar itu merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah sehingga kini. Beliau dijangka akan terus menjadi Menteri Besar kecuali Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak memberikan jawatan tersebut kepada pemimpin BN lain yang dilihat layak.

Itu sememangnya tradisi BN dan PAS. Ketua parti di peringkat negeri akan mengemudi kerajaan negeri itu sekiranya berjaya memegang majoriti kerusi di Kedah. Sejarahnya, hanya BN dan PAS sahaja yang menguasai Kedah sebelum ini. Itu pun PAS hanya mampu bertahan selama sepenggal sahaja.

Jadi, ekoran rakyat Kelantan sudah dapat mengenal pasti calon bakal Menteri Besar Pakatan Harapan, rasanya rakyat Kedah juga mahu tahu siapa yang menjadi pilihan DAP untuk menjadi calon Menteri Besar Pakatan Harapan di negeri mereka.

Soalnya, apakah DAP berani mengumumkan nama pilihan mereka? Kita tunggu dan lihat sama ada DAP ada ‘telur’ atau tidak untuk mengumumkan calon Menteri Besar Kedah bagi Pakatan Harapan dalam masa yang terdekat ini…






Leave a Reply