Menu Utama

Guan Eng patut belajar dari Seng Giaw

Wakil rakyat senior berusia 75 tahun yang sudah lapan penggal jadi Ahli Parlimen Kepong sejak 1982 itu sering bikin tindakan dan kenyataan yang menjadikan DAP ‘bergelora’.

Teguran ikhlas Seng Giaw yang khuatir dengan ‘kehancuran kehijauan’ yang kian serius di Pulau Mutiara baru-baru ini menjadikan Guan Eng semakin ‘naik angin’ dengannya.

Hakikatnya DAP memerlukan lebih ramai ‘Tan Seng Giaw’ dalam parti itu yang berani membuat teguran terbuka demi kebaikan DAP sendiri. Malangnya disambut lain pula oleh Guan Eng.

Seng Giaw dihormati rakan-rakan saingan politiknya. Ini kerana kebolehannya jarang ditemukan dalam kalangan ahli politik pembangkang di Malaysia.

Anak Kelahiran Kota Bharu ini yang mahir menulis dan membaca jawi serta fasih berbahasa Malaysia menjadi contoh kepada pemimpin politik pembangkang yang sering menjadikan perkara yang tiada isu sebagai ‘isu’.

Doktor pakar kulit yang pernah berkhidmat sebagai doktor pakar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini sukar dilihat menabur fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan.

Dalam sidang Dewan Rakyat pun, amat jarang melihatnya ‘mengganggu’ sesi perbahasan hanya kerana mahu memanipulasi isu dan mengecap populariti.

Pada April tahun lalu ketika urus niaga 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sibuk dicanang oleh DAP sebagai ‘penyelewengan dan rasuah terbesar’, Seng Giaw tampil dengan kenyataan yang bertentangan sama sekali dengan Kit Siang dan pemimpin DAP yang lain.

Kata Ahli Parlimen Kepong itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat secara langsung dalam kelemahan pengurusan oleh syarikat 1MDB berdasarkan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Seng Giaw yang juga Naib Pengerusi PAC menyatakan, adalah tidak benar untuk mengaitkan Najib yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat berkenaan sedangkan segala urusan 1MDB ditentukan oleh Lembaga Pengurusan.

Malah, katanya lagi, nama Najib hanya timbul semasa melihat kepada senarai Lembaga Penasihat 1MDB sahaja dan selain daripada itu tiada kaitan.

“Kita tidak boleh kata Perdana Menteri terlibat apabila syarikat ini diuruskan oleh pihak pengurusan, pihak eksekutif. Kami (PAC) kaji semua ini dan nama Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung.

“Saya berpendapat Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan yang perlu disiasat dalam isu ini. Bagaimana kita mahu ambil tindakan terhadap pihak yang tidak buat apa-apa,” kata Seng Giaw.

Sebab itu tidak sukar meneka mengapa Seng Giaw awal-awal lagi ‘dibunuh’ oleh Kit Siang dalam pemilihan DAP 2012.

Sepatutnya ada lebih ramai ‘Seng Giaw’ dalam DAP untuk mengekang ‘diktatorisme’ Dinasti Lim.

Zulkifli Jalil
Utusan






Leave a Reply

Threesome