Menu Utama

Gilakan Anjing, Maka Anjing Gila Jawapannya

Kadang-kadang, pengajaran dan peringatan diturunkan ke muka bumi, agar manusia faham dan mengerti, bahawa sesuatu yang haram akan kekal haram, dan sesuatu kelonggaran yang dibolehkan mempunyai had. Islam khususnya, menyediakan garis panduan dalam meniti kehidupan agar tidak terjerumus ke arah perkara-perkara buruk.

Jangan sembrono, mungkin itulah apa yang cuba perlu kita sama-sama fikirkan apabila melibatkan sesuatu yang jelas hukumnya. Sedang keperluan untuk patuh menjadi satu kemestian, bagaimana pula jika larangan terbabit tidak diendahkan, malah sengaja dilakukan dan berbangga-berbangga dengan tindakan tersebut?

Sekadar melontarkan persoalan yang “keras”, apakah penularan wabak anjing gila ketika ini adalah “bala”, gara-gara sifat berbangga-bangga umat Islam melakukan perkara yang dilarang, seperti membelai anjing contohnya?

Aneh, tatkala wujud pihak mempromosikan anjing sebagai haiwan untuk dibelai dan bukan dibela, tiba-tiba kita dihampiri wabak yang sinonim dengan anjing; iaitu wabak anjing gila.

Bukankah itu satu peringatan kepada yang mahu berfikir? Kepada sebahagian golongan, mungkin mereka menganggap ianya sebagai satu kebetulan. Kebetulan? Tidakkah yang merasa demikian, secara jujur sanggup mengakui bahawa jawapan “kebetulan” adalah bersifat penyedap hati?

Apa yang lebih membahayakan, perkara-perkara seperti membelai anjing ini sebenarnya persis sifat asid, menghakis sedikit demi sedikit. Itulah ancaman sebenar kepada Islam, dengan alasan kononnya moden tanpa disedari membuka ruang dan peluang kepada golongan liberalis untuk meruntuh tiang-tiang seri Islam.

Jika wabak anjing gila memang dikenali menyerang mangsa secara fizikal dan boleh menyebabkan kematian, satu lagi jenis serangan juga mampu memberi bahaya kepada semua. Contohnya, dengan lafaz “I am a topdog”. Punyalah banyak perkataan yang boleh kita gunakan, anjing juga yang dipilih. Bermula di fikiran, lama kelamaan ia akan meresap ke hati, membusukkannya beserta tulang temulang. Maka, jagalah hati, jagalah fikiran.

Apakah wabak anjing gila yang menyerang fizikal dan mental ketika ini adalah petunjuk bahawa mungkin tuhan mulai bosan, melihat tingkah kita yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa?

Wallahu’alam…






Komen Di Tutup