Menu Utama

Bila Al-Quran Dan Hadis Ditolak, SR Pula Dijadikan ‘Kitab Suci’…

Mengada-adakan cerita tentang suatu yang tidak ada memang mudah. Apatah lagi plot-plot ceritanya begitu kontroversi dan panas, maka sudah tentu ia mampu mempersonakan ramai pihak, khususnya masyarakat sekeliling yang tidak tahu tentang hal sebenar.

Cereka fiksyen seperti itu memang laku di akhir zaman ini. Lebih jelas, Rasulullah SAW dalam hadis baginda pada lebih 1438 tahun Hijrah yang lalu telah berpesan kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan bahaya fitnah yang bakal berleluasa di akhir zaman ini.

Namun pesanan Rasulullah SAW itu bagai sengaja dilupakan. Pantang saja dapat peluang, maka pihak-pihak tertentu akan mereka-reka cerita jahat, menuduh si polan dan si polan. Kononnya begitu dan begitu. Masyarakat yang malas menyelidik fakta sebenar pula akan menyebarkan tuduhan kontroversi itu.

Sebagai contoh, Sarawak Report (SR) menuduh PAS menerima dana sebanyak RM90 juta wang 1MDB. PAS menyangkal dakwaan tersebut sekeras-kerasnya dan mendakwa ia merupakan satu fitnah yang berniat jahat.

Malangnya, pengikut Pakatan Harapan khususnya parti ‘cap bunga’ dan PAN terpengaruh dengan cereka itu. Lalu disebarkan tuduhan SR itu di segenap saluran, khususnya di laman sosial. Tujuannya hanyalah satu dan ia berpaksikan pada politik semata-mata.

Dan begitu juga bila SR membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan dan pemimpin kerajaan BN berkenaan 1MDB. Biarpun disangkal dan dikemukakan semua bukti-bukti kukuh serta fakta rasmi yang sah, malah siasatan telah dibuatkan dan terbukti tuduhan itu tidak benar sekalipun, puak pembangkang tetap mahu rakyat percaya pada tuduhan SR tersebut.

Tidak cukup dengan itu, ada pula pihak yang membuat aduan kepada Kerajaan AS dan meminta campur tangan ketenteraan diambil terhadap Malaysia? DoJ pula membuat kenyataan mengenai saman sivil berdasarkan aduan semata-mata tanpa bukti?

Begitu sekali mereka mahu membohongi rakyat? Sudah berkali-kali diterangkan, sudah berbuih mulut dijelaskan bahawa tiada wang 1MDB yang dicuri atau hilang, tapi mereka masih lagi cuba menegakkan benang yang basah?

Mengenai dakwaan DoJ, apakah wajar kenyataan itu dibuat dengan hanya bersandarkan pada aduan dan siasatan yang dijalankan masih belum selesai?

Sekiranya penulis mereka-reka cereka fiksyen dan mengadu pada Amerika Syarikat dengan dakwaan kononnya sebuah syarikat bernama ‘Optom’ menguruskan dana secara haram, menjalankan ‘money laundry’ di negara itu dan menaja pengganas, apakah DoJ akan mengambil tindakan yang sama?

Jika penulis menyokong dakwaan fiksyen itu dengan pelbagai dokumen yang kononnya ‘sulit’, namun sebenarnya telah diubah suai mengikut plot-plot konspirasi, apakah ia akan diterima oleh DoJ sebagai bukti yang sahih dan kukuh?

Sekiranya siasatan sedang dibuat berdasarkan aduan penulis terhadap ‘Optom’ itu belum selesai, apakah wajar syarikat itu diumum dengan tuduhan yang berat seperti yang direka penulis? Adilkah berbuat demikian?

Di dalam Islam, bukan mudah untuk membuat tuduhan. Segala bukti kukuh, saksi yang tidak fasik dan pelbagai lagi syarat yang ketat perlu dikemukakan. Semua itu perlu dirangkum dan diputuskan sebagai ‘beyond reasonable doubt’.

Misalnya, jika menuduh seseorang itu berzina, semua syarat tersebut perlu dipenuhi. Namun sekiranya tuduhan itu didapati meleset, maka si pengadu bakal berdepan hukuman yang sangat berat, bukan?

Jadi, mengapa perlu percaya pada rekayasa pihak berkepentingan yang jelas langsung tidak mencerminkan keadilan sejagat? Apakah kita lebih yakin kepada kata-kata SR berbanding Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW? Kerana politik, maka kita sanggup ketepikan Islam yang sepatutnya lebih aula?

Padanlah PAS sedikit pun tidak hirau pada tuduhan yang membabitkan 1MDB. Malah PAS senada dengan Perdana Menteri yang mahu isu tersebut disiasat sedalam-dalamnya dan sekiranya berlaku suatu penyelewengan, pihak terbabit mesti dibawa ke muka pengadilan.

Mengapa susah sangat puak Pakatan Harapan mahu terima hakikat itu? Susah sangatkah untuk diturut kehendak hukum-hakam Islam? Sejak bila pula SR itu menjadi kitab suci mereka? Apakah SR itu wahyu kepada ‘wali’ yang didulunya bergelar ‘maha firaun’?






Leave a Reply