Menu Utama

Banyak kejayaan dicapai separuh tahun 2017

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, banyak kejayaan membanggakan dicapai oleh negara pada separuh tahun ini meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran daripada ketidaktentuan pasaran antarabangsa, kejatuhan harga minyak sehinggalah kepada tindakan mensabotaj ekonomi serta memburuk-burukkan negara oleh pihak pembangkang.

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2017 kekal stabil dan kukuh, menyaksikan ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion.

‘‘Banyak pengiktirafan antarabangsa telah kita terima, bukti dasar yang kita laksanakan untuk terus mengukuhkan ekonomi negara adalah langkah yang tepat dan membuahkan hasil.

‘‘Agensi antarabangsa Pricewater House Coopers telah meletakkan Malaysia pada tangga ke-25 kuasa besar ekonomi dunia dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak AS$1.5 trilion (RM6.5 trilion) menjelang 2030.

‘‘Bank Dunia turut mengiktiraf ekonomi Malaysia dengan memberi semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi bagi tahun 2017 yakni 4.9 peratus. Malah, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2018 dan 2019 turut diberi semakan semula lebih tinggi iaitu 4.9 peratus dan 5.0 peratus, peningkatan sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus ma­sing-masing,” katanya dalam catatan di blog najibrazak.com hari ini.

Tetapi malangnya, tambah Perdana Menteri, walaupun ekonomi Malaysia menerima pengiktirafan badan penarafan antarabangsa dan keyakinan pelabur luar, ada ‘pakar ekonomi’ pembangkang yang masih beria-ia memburukkan ekonomi negara hanya untuk kepen­tingan politik peribadi.

‘‘Dahulu, sewaktu saya bawa balik pelaburan daripada China, ramai daripada pihak pembangkang menyatakan bahawa saya menjual kedaulatan negara kepada China tetapi hairannya apabila pelaburan asing masuk daripada Arab Saudi, India dan banyak negara lain, tidak pula mereka katakan saya jual kedaulatan kepada negara-negara tersebut.

‘‘Hakikatnya, meskipun pem­bangkang tidak habis-habis menyebarkan fitnah dan khabar angin tentang keburukan serta keadaan ekonomi negara, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus mengusahakan yang terbaik buat semua rakyat Malaysia,’’ tegas Perdana Menteri.

Utusan



(Next News) »



Leave a Reply