Menu Utama

“Sivarasa, kamu telah melampaui batas!” – Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan rasa sangat dukacita terhadap tindakan anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa yang telah berucap dalam dewan solat Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang dekat sini, baru-baru ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang bukan beragama Islam.

“Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap dalam masjid adalah kerana beta tidak mahu ianya menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.

“Namun, teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan, anggota Parlimen Subang Sivarasa, “you have cross the line!” (kamu telah melampaui batas), titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, di sini hari ini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa; Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda tidak menghalang jika anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu hendak berucap di luar kawasan masjid, dan ia terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar atau sebaliknya, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid mahupun dalam kawasannya.

“Nazir masjid, imam dan anggota jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titah beta dengan tidak membenarkan sama sekali masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik.

“Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak,” titah baginda.

Titah Sultan Selangor lagi, baginda memberi kuasa kepada nazir, imam dan anggota jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid. – BERNAMA






Satu Komen to “Sivarasa, kamu telah melampaui batas!” – Sultan Selangor

  1. sman says:

    SEbenarnya PKR sudah sangat terdesak mahu menarik pengundi Melayu Islam ,bagi mempertahankan kedudukannya di Selangor,sehingga sanggup buat-buat lupa pada titah Sultan.Tanpa sokongan PAS ,PKR akan ketandusan undi Melayu,jadi harapan mereka utk menang sangat tipis.Begitu juga dgn PAN,itu lah sebabnya seorang MP PAN walau pun telah pernah di dakwa dan juga di tegur oleh Sultan tapi masil kesana kemari di surau-surau menyampaikan ucapan ,yg memang tersirat unsur-unsru politik mengenakan pihak lawannya terutamanya PAS.

Leave a Reply