Menu Utama

SELANGOR, SYED SADDIQ & BONUS DUA BULAN SETENGAH

Syed Saddiq bukanlah orang yang pertama kagum tak tentu pasal tentang rizab Selangor yang dikata sudah mencecah RM4 billion dan juga pemberian bonus dua bulan setengah yang diberikan oleh kerajaan Selangor kepada penjawat awam Selangor.

Baru-baru ini beliau sering membandingkan bagaimana kerajaan Selangor mampu memberi bonus lebih tinggi daripada kerajaan persekutuan yang hanya memberikan RM500 kepada semua penjawat awam, bagaimana kerajaan Selangor boleh memberikan air percuma kepada seluruh rakyat Selangor, bagaimana kerajaan Selangor boleh menyediakan bas percuma kepada rakyat Selangor dan pada masa yang kerajaan negeri Selangor boleh mencatatkan lebihan belanjawan (surplus budget) dan rizab yang bertambah setiap tahun.

Syed Saddiq juga mencoretkan kisah dongeng “Amzin dan Masalan” yang jelas menunjukkan kekaguman beliau terhadap kerajaan pimpinan Azmin Ali di Selangor yang memberi pelbagai faedah kepada rakyat dan menyindir kerajaan persekutuan dan negeri di bawah Barisan Nasional yang di kaca mata beliau, menyelewengkan wang rakyat, tidak telus, mengamalkan rasuah dan sebagainya.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan bantuan khas RM500 untuk kakitangan awam sempena hari raya semalam, dengan pantas Syed Saddiq membangkitkan bonus dua bulan setengah yang diberikan oleh kerajaan Selangor dan membandingkannya dengan bantuan khas kerajaan persekutuan tersebut.

Saya ingin menjawab 3 soalan yang diajukan Syed Saddiq malam semalam tetapi bukan sebagai penyokong Najib Razak, hanya sebagai seorang yang sukakan hujah yang disokong angka dan fakta.

Jawapan kepada soalan pertama mudah. Rizab kerajaan negeri atau lebih tepat Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri meningkat hampir setiap tahun malah sebelum 2008 lagi setiap tahun rizab kerajaan Selangor meningkat:

Kenapa rizab Selangor di bawah Pakatan lebih tinggi daripada rizab di bawah BN? Kenapa kerajaan Selangor di bawah Pakatan boleh mengumpul rizab sehingga RM3 billion lebih tetapi BN hanya RM1.3 billion?

Soalan ini adalah soalan tidak cerdik yang menunjukkan kecetekan kefahaman seseorang tentang ilmu kewangan. Ia seolah-olah bertanya kenapa rizab kerajaan Sarawak pada zaman arwah Adnan Satem berjumlah RM29.4 billion tetapi rizab di bawah Taib Mahmud hanya RM23.3 billion atau kenapa rizab kerajaan Johor di bawah Khaled Nordin RM2.6 billion berbanding RM1.8 billion di bawah Ghani Othman?

Sudah tentulah rizab kerajaan Selangor akan berkembang selari dengan saiz ekonomi yang berkembang setiap tahun. KDNK Selangor pada tahun 2007 adalah RM128 billion manakala KDNK pada tahun 2015 adalah RM239 billion. KDNK Malaysia pada tahun 2007 dicatatkan pada RM665 billion dan KDNK pada tahun 2015 adalah RM1.15 trillion. Ekonomi negara yang sentiasa berkembang membolehkan kerajaan negeri mengutip lebih banyak hasil setiap tahun bukan sahaja kerajaan Selangor tetapi juga kerajaan negeri lain yang menyaksikan peningkatan rizab setiap tahun.

Selangor juga menerima limpahan kemakmuran ekonomi yang dibawa oleh kerajaan persekutuan melalui pelbagai projek infrastruktur seperti LRT, MRT, KLIA, lebuhraya dan juga syarikat-syarikat multinasional tempatan dan antarabangsa yang berpengkalan dan berurusniaga di Selangor yang kebetulannya di dalamnya terletak ibu negara Malaysia dan pusat pentadbiran Malaysia iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya. Untuk mengatakan kemakmuran Selangor adalah disebabkan usaha kerajaan Selangor selepas 2008 semata-mata adalah mengabaikan fakta yang terbentang di depan mata.

Sebelum 2007 lagi Selangor merupakan negeri yang termaju dan terkaya di dalam Malaysia. Kerajaan Pakatan selepas 2007 hanyalah menyambung kemajuan pembangunan yang dibawa kerajaan BN sebelum itu:

Melihat kepada bonus kakitangan awam semata-mata sebagai pencapaian sesebuah kerajaan adalah dangkal. Bonus yang diberikan kepada 17,528 kakitangan awam jika dibandingkan dengan 6.3 juta rakyat Selangor adalah sangat sedikit iaitu 0.3%. Ini berbeza dengan 1.38 juta kakitangan awam persekutuan yang mewakili 4.3% populasi penduduk Malaysia yang membuktikan lebih ramai menerima manfaat daripada bonus yang diberi kerajaan persekutuan walaupun jumlahnya lebih rendah berbanding bonus Selangor.

Jawapan kepada soalan kedua Syed Saddiq adalah mudah. Selangor adalah negeri terkaya dan termaju dari segi saiz ekonomi dan kutipan hasil kerajaan. Tidak ada yang menghairankan apabila kerajaan Selangor membayar bonus yang lebih tinggi kepada kerajaan negeri yang lain.

Walaubagaimanapun jika dikira secara purata jumlah emolumen yang termasuk gaji, elaun, imbuhan, bonus kerajaan Johor membelanjakan lebih banyak untuk tujuan emolumen untuk kakitangan awam berbanding kerajaan Selangor.

Pada tahun 2015 kerajaan Johor membelanjakan sejumlah RM404.5 juta bagi tujuan emolumen. Terdapat 15,126 jumlah kakitangan awam negeri Johor. Ini bermaksud secara purata kerajaan Johor membelanjakan RM26,742 bagi setiap kakitangan awam negeri Johor:

Pada tahun yang sama kerajaan Selangor membelanjakan sejumlah RM377.16 juta bagi tujuan emolumen dan terdapat 17,528 jumlah kakitangan awam negeri Selangor. Secara purata kerajaan Selangor membelanjakan RM21,517 bagi setiap kakitangan awam negeri Selangor:

Malah jika dibandingkan perbelanjaan emolumen berbanding hasil yang dikutip, kerajaan Johor membelanjakan 26% daripada kutipan hasil (RM1.55 billion) untuk perbelanjaan emolumen (RM404.5 juta) lebih tinggi daripada kerajaan Selangor yang membelanjakan 15% daripada kutipan hasil (RM2.53 billion) untuk perbelanjaan emolumen (RM377.16 juta).

Pada pendapat anda siapakah yang menawarkan jumlah emolumen yang lebih pro-rakyat kepada penjawat awam negeri masing-masing? Adakah bagi Syed Saddiq penanda aras utama faedah dan manfaat kepada kakitangan awam hanyalah bonus setiap tahun?

Soalan ketiga Syed Saddiq membuktikan betapa simplistik pemikiran beliau tentang pengurusan kewangan kerajaan. Syed Saddiq menyangka “model” pentadbiran kerajaan Selangor boleh dilaksanakan dan direplikasikan di peringkat persekutuan. Pertama sekali Syed Saddiq kena faham perbezaan komponen hasil dan perbelanjaan kerajaan negeri dan persekutuan.

Hasil kerajaan negeri terhad kepada hal berkaitan tanah seperti cukai tanah, premium geran tanah, hasil hutan dan juga lesen, permit, cukai hiburan dan juga pemberian kerajaan persekutuan. Manakalah hasil kerajaan persekutuan lebih luas dengan kutipan cukai pendapatan individu, syarikat, petroleum, cukai tidak langsung, duti eksport dan import, duti eksais, faedah dan royalti, dividen pelaburan dan macam-macam lagi.

Perbelanjaan kerajaan negeri juga tidak seluas perbelanjaan kerajaan persekutuan yang meliputi emolumen dan bonus kakitangan awam di seluruh negara seperti guru, polis, tentera, imigresen, kastam termasuk yang bertugas di negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang persekutuan seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, perbelanjaan pencen kakitangan awam, pembelian aset-aset kerajaan, geran dan serahan kepada kerajaan negeri termasuk kerajaan Selangor dan badan-badan berkanun, subsidi dan juga perbelanjaan pembangunan yang merangkumi sektor ekonomi, sosial, keselamatan dan pertahanan awam, pendidikan, kesihatan, perumahan dan sebagainya.

Malah kerajaan persekutuan juga memberikan sejumlah RM758 juta kepada kerajaan Selangor setiap tahun dan sebahagian daripada jumlah pemberian ini dikira di dalam rizab RM4 billion yang dibangga-banggakan pembangkang termasuk Syed Saddiq:


Selain daripada itu Syed Saddiq juga perlu tahu penyumbang utama hasil kerajaan Selangor adalah kutipan premium geran tanah yang dikutip oleh kerajaan negeri apabila tanah diberimilik oleh kerajaan kepada pihak persendirian. Mereka yang ingin menyambung pajakan tanah mereka dengan kerajaan juga perlu membayar premium kepada kerajaan Selangor. Kini kutipan premium geran tanah menyumbang lebih 50% hasil kerajaan negeri setiap tahun berbeza pada zaman BN mentadbir Selangor di mana premium geran tanah hanya menyumbang sebanyak 26% hasil kerajaan negeri.

Premium geran tanah ini juga menyebabkan harga hartanah seperti rumah di Selangor meningkat naik mendadak berbanding negeri-negeri lain di Malaysia (kecuali Kuala Lumpur). Pada tahun 2015 harga rumah di Selangor mencatatkan kadar kenaikan tertinggi pada 8.1% berbanding negeri-negeri lain lebih tinggi daripada Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Kemungkinan besar penduduk Selangor tidak mampu untuk membeli dan memiliki rumah disebabkan harga rumah yang naik mendadak setiap tahun di Selangor. Ini dapat dibuktikan dengan kadar pemilikan rumah di Selangor antara yang terendah di Malaysia pada 70.2%. Hampir 30% penduduk Selangor tidak memiliki rumah berbanding negeri-negeri lain (kecuali Sabah) yang mencatatkan kadar pemilikan rumah lebih 80%. Ia sama ada orang Selangor suka menyewa atau mereka tidak mampu untuk membeli rumah:

Bilangan rumah kos rendah yang dibina di Selangor juga hanya 48 unit pada tahun 2014. Ini membuktikan kos premium geran tanah yang tinggi menyebabkan rakyat tidak mampu memiliki rumah di Selangor:

Apa guna bonus berbulan-bulan diberikan kepada kakitangan awam negeri Selangor tetapi rakyat kebanyakan tidak mampu memiliki rumah seperti rakyat di negeri lain? Rizab hampir RM4 billion tetapi hanya sedikit unit rumah kos rendah yang dibina untuk rakyat? Model inikah yang ingin dilaksanakan oleh pembangkang sekiranya mereka mengambil alih kerajaan persekutuan nanti?

Saya rasa cukup saya menjawab 3 soalan Syed Saddiq di atas. Saya ada membaca ada balasan di Twitter beliau yang beliau retweet seperti di bawah:

Mari kita lihat sama ada Syed Saddiq berani retweet jawapan yang saya beri di atas. Kalau Syed Saddiq hendak membuktikan saya salah silakan buat hujahan balas dan saya akan sentiasa menunggu bila-bila masa dan di mana jua saya berada.

http://syahir521.blogspot.my/2017/06/selangor-syed-saddiq-bonus-dua-bulan.html






Leave a Reply