Menu Utama

Prasarana Malaysia Bakal Jana Pulangan Ekonomi RM17 Bilion Tahun Ini – PM

Pulangan ekonomi yang bakal dijana Prasarana Malaysia Bhd tahun ini dijangkakan mencapai RM17 bilion berbanding RM13.3 bilion tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata jumlah ini dijangkakan bertambah menjelang 2030 apabila jumlah pengguna yang menggunakan pengangkutan awam meningkat kepada 40 peratus berbanding 21 peratus setakat ini.

“Amat penting bagi setiap dari saudara saudari sekalian menyedari bahawa tugas yang anda jalankan amat kritikal untuk negara.

“Apabila saudara-saudari datang memulakan kerja setiap pagi, ingatkan pada diri bahawa ini bukan sekadar kerja, malah bakti kepada bangsa dan negara,” katanya pada majlis khas Sepetang Bersama Perdana Menteri bersama warga kerja Kumpulan Prasarana Malaysia.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia telah mencatat sejarah menerusi pelaksanaan pelbagai projek pengangkutan awam secara terancang dan teratur.

Najib berkata landskap pengangkutan awam negara bermula dengan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat sebagai badan induk pengawalseliaan Pengangkutan Awam, diikuti projek-projek seperti penyambungan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) yang bakal siap sepenuhnya Julai ini.

Selain itu, beberapa projek lain turut dilaksanakan seperti projek LRT 3, Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura, dan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

“Saya juga telah memilih tarikh yang sesuai untuk melancarkan fasa kedua MRT (laluan Kajang – Sungai Buloh) pada 17 Julai ini.

“Tarikh ini akan kekal dalam sejarah negara kita kerana inilah gambaran ‘pengangkutan moden masa depan di Malaysia’,” katanya.

Projek fasa kedua MRT tersebut berjaya dilaksanakan mengikut jadual dan bajet yang ditetapkan.

Pada masa yang sama kita juga mewujudkan perkhidmatan bas yang lebih cekap, dipercayai dan mampan untuk memudahkan perjalanan merentas negeri dan daerah,” katanya.

Najib berharap sistem pengangkutan awam dekat di hati rakyat, dan mengharapkan tiada sebarang kecacatan pada sistem tersebut sehingga menyebabkan perkhidmatan terganggu.

“Kita mesti mempunyai penanda aras yang cukup tinggi sehingga sifar masalah… dan untuk kita mencapai sifar masalah, kita mesti tentukan budaya berprestasi tinggi.

“Anda mesti berbangga dengan kerja anda, kerana apabila anda berbangga dengan kerja anda, anda akan menyampaikan kualiti, kecekapan dan ketepatan, ” katanya.

Najib berkata Malaysia mahu melahirkan warga kerja yang bermutu tinggi dan cekap dalam tugasan, di samping komited untuk tidak melakukan kesilapan.

Kira-kira 2,600 warga kerja Kumpulan Prasarana dan anak-anak syarikatnya hadir pada program khas tersebut yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azmi Abdul Aziz..

Ia merupakan platform untuk berkongsi pandangan berhubung pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengangkutan awam negara.

— BERNAMA






Leave a Reply