Menu Utama

Kerajaan DAP Pulau Pinang hadapi masalah kewangan serius

Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang menangguhkan bayaran untuk tempat letak kenderaan bagi 290 jalan di Pulau Pinang merupakan bukti bahawa negeri itu sedang mengalami masalah kewangan yang serius.

Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Datuk Michael Lee Beng Seng berkata, situasi itu jelas apabila cadangan asal kerajaan negeri DAP itu mahu meningkatkan tem­poh bayaran letak kenderaan iaitu dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, berbanding sebelum ini 9 pagi hingga 5 petang.

Katanya, kadar bayaran dari Isnin hingga Jumaat itu tidak mencukupi apabila kerajaan ne­geri turut mencadangkan bayaran tempat letak kenderaan pada hari Sabtu dengan tempoh yang sama, berbanding hanya dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

“April lalu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan bakal menaikkan surcaj pemuliharaan air (SPA) iaitu sebanyak 77 peratus untuk pengguna dan 58 peratus untuk perniagaan atas alasan sebagai sebahagian daripada ‘usaha’ mahu menggalakkan penggunaan air secara bijak dalam kalangan rakyat negeri tersebut.

“Jelas bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh DAP sangat memerlukan dana dengan memaksa rakyat untuk membiayai peningkatan 500 peratus perbelanjaan operasi kerajaan negeri sejak 2008.

“Mengaku sahajalah DAP, bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang sedang mengalami masalah kewangan serius, tidak perlu menggunakan alasan untuk kepentingan rakyat sedangkan wang rakyat yang diperah tanpa henti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Beng Seng yang juga Bendahari Pemuda MCA, meskipun Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Joseph Ng Soon Siang telah mengumumkan bahawa rancangan pengumpulan bayaran tempat letak kenderaan itu ditangguhkan, namun beliau yakin ia akan tetap dilaksanakan selepas pilihan raya umum kelak.

Katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu bertindak sedemikian kerana mereka sangat memerlukan wang untuk membiayai peningkatan lima kali perbelanjaan operasi dan membayar per­belanjaan pembaziran.

Utusan






Leave a Reply