Menu Utama

Hormati Menteri Dari Sabah dan Sarawak – Rahman Dahlan

Menteri-menteri kabinet di Putrajaya perlu lebih bijaksana dalam menangani kebimbangan yang berasal dari Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Ini berikutan pergeseran antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dengan rakan sejawatannya dari Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang menggesa cukai pelancongan di negeri itu ditangguhkan.

Tanpa menamakan Nazri, Abdul Rahman berkata, perbezaan pendapat mengenai cukai itu perlu ditangani dengan bijaksana.

“Menteri-menteri persekutuan sudah tentu boleh menjadi lebih akomodatif apabila berurusan dengan pertanyaan dan kebimbangan dari pemimpin di Sabah dan Sarawak.

“Cukai pelancongan boleh diberikan justifikasi dan dijelaskan. Tetapi perbalahan antara pemimpin Sabah dan Sarawak dengan kementerian budaya dan pelancongan menjadikan usaha lebih sukar,” tulis Abdul Rahman di Twitter.

Semalam, Nazri menyindir Abdul Karim kerana menggunakan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai hujah bagi menggesa kerajaan menangguhkan cukai pelancongan di Sarawak yang akan menyebabkan harga bilik hotel meningkat sehingga RM20 semalaman.

Nazri menggelar Abdul Karim sebagai menteri “Setahun jagung” dan cuba berlagak “samseng”.

Pemuda BN Sarawak bagaimanapun menganggap kenyataan itu sebagai satu penghinaan.

Menurut Abdul Rahman, Abdul Karim mungkin masih baru dalam kabinet Sarawak, tetapi telah lama menjadi wakil rakyat di negeri itu.

“Beliau sudah tentunya seorang ahli politik Sarawak yang sangat berpengalaman dengan bertahun-tahun sebagai ahli parlimen,” katanya.-Malaysiakini.com






Leave a Reply