Menu Utama

CEO FGV Harus Bertindak Secara Profesional

Oleh Ab Jalil Backer

Tindakan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Datuk Zakaria Arshad menentang keputusan Lembaga Pengarah FGV melalui Portal Malaysia-Today adalah satu tindakan yang tidak profesional dan merendahkan kredebliti beliau sebagai seorang CEO syarikat konglomerat besar.

Lembaga Pengarah FGV mengarahkan cuti dan siasatan berdasarkan audit yang telah dilakukan oleh PricewaterhouseCoopers.

Apabila Lembaga Pengarah FGV membuat keputusan arah CEO bercuti sehingga selesai siasatan, maka CEO muncul mempertahankan diri. Benar kita tidak tahu siapa salah atau betul lagi. Namun dari segi profesional, CEO sudah salah apabila mencabar keputusan Lembaga Pengarah melalui Malaysia-Today dan kemudiannya media massa lain.

Bagi sebuah syarikat bertaraf konglomerat besar kita mengharapkan sikap CEO juga seperti CEO yang profesional. Malangnya ini tidak berlaku.

Jika CEO tidak berpuas hati beliau perlu berjumpa dengan pemegang saham utama atau mengambil tindakan undang-undang bukannya menyerang Pengerusi FGV melalui media massa.

Serangan terhadap Isa Samad tidak relevan kerana ia bukan membabitkan isu Pengerusi FGV lawan Presiden FGV. Ia adalah keputusan Lembaga Pengarah FGV,. Selagi Lembaga Pengarah FGV lain tidak bersuara menentang keputusan yang diumumkan oleh Isa, maka kita harus menganggap keputusan siasatan dalaman ini adalah keputusan syarikat, bukan keputusan individu bernama Isa Samad.

Isa Samad mungkin ada isu lain, namun dalam isu ini kita mahu melihat Lembaga Pengarah FGV dibenarkan mengurus dan menjaga kepentingan syarikat.

Orang ramai kena faham FGV adalah syarikat senaraian awam yang mempunyai pemegang saham. Pemegang saham bersuara melalui Lembaga Pengarah. Ini bukan syarikat milik CEO.

Malah keputusan Lembaga Pengarah juga boleh dipertikai. Namun ia harus melalui urus tadbir korporat.

Jika pemegang saham majoriti tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Pengarah, mereka boleh memanggil satu Mesyuarat Agung Luar biasa membincangkannya.

Perlu difahami FGV bukan agensi kerajaan atau badan politik untuk dipolemikkan. Jika kita menubuhkan syarikat besar, uruskan seperti syarikat besar.

Jangan urus seperti badan politik atau NGO yang semua orang sibuk hendak memburukkan antara satu sama lain.






Leave a Reply