Menu Utama

Anifah nasihat Nazri supaya beradab

Kenyataan Media YB Dato’ Sri Anifah Haji Aman, Menteri Luar Negeri Merangkap Ahli Parlimen P.176 Kimanis

1. Merujuk kepada kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkenaan Cukai Pelancongan yang bakal dilaksanakan dan kenyataan beliau terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah.

2. Sebagai seorang rakan dalam Kabinet Persekutuan, saya berpendapat perkara ini seharusnya dibincangkan dengan cara yang lebih diplomasi serta melambangkan semangat perpaduan dalam Barisan Nasional (BN).

3. Ingin saya jelaskan, sebarang permasalahan serta isu, terutama yang menyentuh sensitiviti rakyat, seharusnya ditangani melalui perbincangan dan mengambil pendekatan lebih diplomatik dalam urusan berkaitan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama.

4. Isu sebegini hendaklah dijelaskan secara baik bagi mengelakkan tercetusnya perkara-perkara yang boleh mengguris hati dan perasaan rakyat di Sabah dan Sarawak. Contoh yang diberikan oleh YB Datuk Seri Nazri berkenaan jumlah hotel lima bintang yang berada di Sabah dan Sarawak berbanding dengan Semenanjung merupakan perbandingan yang dirasakan tidak wajar dibuat.

5. YB Datuk Seri Nazri merupakan seorang kawan dan sebagai seorang kawan saya nasihatkan agar beliau mengambil langkah yang pertama bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik. Sudah tentu YB Datuk Seri Nazri akan menerima teguran ini demi kebaikan bersama. Kita di dalam keluarga BN saling menghormati dan menyelesaikan apa jua permasalahan melalui saluran yang betul demi menjaga keharmonian rakyat sejagat.

6. Mandat serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat harus sentiasa diutamakan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Dato’ Sri Anifah Haji Aman
Menteri Luar Negeri Merangkap Ahli Parlimen P.176 Kimanis
(12 Jun 2017)






Leave a Reply