Menu Utama

Umno konsisten bantu rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tiada parti lain di negara ini yang konsis­ten dalam memperjuangkan nasib rakyat sejak 71 tahun lalu me­lainkan UMNO.

Perdana Menteri berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan ditunjangi UMNO bersama-sama rakan komponen Barisan Nasional (BN) bertujuan membela untung nasib rakyat termasuklah dari aspek pendidikan, perumahan, kesihatan dan pelbagai lagi.

Disebabkan itu juga, Najib yang juga Presiden UMNO percaya bahawa Allah SWT ‘memberi’ kemenangan kepada parti itu pada setiap pilihan raya umum di­sebabkan komitmen UMNO dalam membantu rakyat di negara ini.

Tidak seperti pembangkang yang pandai bercakap dan menabur fitnah, jelasnya, UMNO me­rupakan sebuah parti yang banyak jasa dan budi kepada rakyat.

“Saya mahu kita semua me­nyusun di peringkat akar umbi sama ada di bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Kita ma­suk rumah flat, ketuk pintu, ja­ngan ketuk orang, kita bantu, beri sumbangan, insya-Allah mereka tahu.

“Kita akan teruskan perjuangan, orang akan menilai, mereka faham masa depan negara kita lebih terjamin kalau kita terus berkuasa,” katanya dalam Majlis Pelancaran Program UMNO Bantu Rakyat di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang dekat sini malam ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Sebagai simbolik program tersebut, Najib melepaskan konvoi 35 kenderaan melibatkan 150 sukare­lawan Biro Kebajikan UMNO yang akan menjelajah 21 lokasi bermula malam ini sehingga 1 Jun depan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberitahu, UMNO membantu rakyat melalui dua kaedah iaitu dengan UMNO menunjangi kerajaan dan rakyat dibantu mela­lui saluran parti yang membabitkan setiap bahagian UMNO, sayap parti dan juga Biro Kebajikan UMNO.

“Kita lakukan bukan ikut musim tetapi sepanjang tahun, malah selama usia UMNO, kita telah terus-menerus membantu rakyat,” jelas beliau.

Utusan






Leave a Reply