Menu Utama

UMNO Kekal Kuat Kerana Sentiasa Berjuang Untuk Rakyat – Najib

UMNO kekal kuat sehingga ke hari ini kerana ia sentiasa berpegang kepada asas perjuangan parti yang berpaksikan Islam, Melayu dan Bumiputera untuk seluruh rakyat di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Perdana menteri yang juga presiden UMNO itu menegaskan bahawa sejak penubuhannya, parti yang sudah berusia 71 tahun itu juga sentiasa relevan dengan dasar perjuangan yang sesuai dengan zaman selain mempunyai visi dan tindakan untuk memajukan bangsa dan negara.

Kita berjuang bukan untuk ahli UMNO sahaja, malah untuk semua rakyat tidak kira kaum, agama dan keturunan.

Kita perjuangkan pembangunan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia, kita jaga keselamatan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia, kita tegakkan perpaduan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia, katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 150,000 anggota UMNO pada acara perhimpunan raksasa bersempena sambutan Hari UMNO ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Perdana menteri juga menegaskan bahawa UMNO bukan parti perkauman dan bukan parti pelampau, malah ia sanggup bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan rakan-rakan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili seluruh rakyat di negara ini.

Najib berkata UMNO yang mendahulukan rakyat, terus mendapat keyakinan pada setiap kali pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Besar, PRK Parlimen Kuala Kangsar dan dan PRK DUN Tanjong Datu yang lalu.

Beliau berkeyakinan parti itu bersama rakan-rakan dalam BN akan sekali lagi diberikan mandat untuk memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Kita sentiasa relevan kerana dasar perjuangan yang kita amalkan dan laksanakan sesuai mengikut era dan zaman sama ada ketika menentang Malayan Union atau (era) pasca kemerdekaan, membangunkan kawasan luar bandar, era perindustrian dan menuju 30 tahun lagi kepada zaman Transformasi Nasional (TN50), katanya.

Najib berkata visi dan tindakan parti UMNO juga seiring dengan rakan-rakan dalam parti komponen BN tidak seperti di pihak pembangkang yang seringkali tidak sehaluan.

Wawasan tanpa tindakan akan sia-sia sahaja, tindakan tanpa wawasan akan menjadi caca marba. Kita tidak macam pembangkang yang tidak sehaluan. Kita dalam Barisan Nasional, kita satu keluarga dan menyokong dasar sama, katanya.

Najib yang teruja dengan kehadiran ratusan ribu anggota parti dari seluruh negara yang berpakaian merah memenuhi stadium nasional itu, berkata perhimpunan raksasa itu turut menjadi lambang kekuatan UMNO.

Dengan kehadiran anggota parti dan saf kepimpinan UMNO dan BN, parti itu, katanya tidak berasa gentar atau gundah gulana walaupun menghadapi pelbagai cabaran daripada pihak lawan, malah akan menghadapi segala cabaran itu dengan segala kekuatan.

Inilah semangat kita, semangat luar biasa UMNO. Siapa kata UMNO tidak kuat, tengok sahajalah perhimpunan ini. Ini baru sebahagian sahaja, ramai lagi (ahli) berada di kampung, di pinggir bandar� ada tiga juta lebih lagi, katanya.

Mengakhiri ucapannya yang berlangsung hampir 40 minit itu, Najib memanjatkan doa ke hadrat Ilahi memohon kesejahteraan terhadap negara dan bangsa Melayu selain memohon perlindungan terhadap perjuangan UMNO.

Laungan �No retreat, No surrender (Pantang Berundur, Pantang Menyerah) serta Hidup UMNO, Hidup Barisan dan Hidup Rakyat oleh Najib di akhir ucapannya, disahut dengan gema yang bergemuruh oleh para anggota parti yang memenuhi stadium nasional itu.

Acara sambutan pada malam ini disifatkan sebagai perhimpunan terbesar parti dan yang terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum akan datang.

Para anggota parti yang datang dengan membawa bendera parti, pelbagai poster dan plakad itu berhimpun bersama pucuk pimpinan parti bagi memperingati penubuhan UMNO yang sejak lebih tujuh dekad telah mempertahankan dan membangunkan bangsa.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas timbalan presiden parti turut menjadi imam memimpin solat Maghrib berjemaah di surau khas di perkarangan stadium.

Acara malam ini turut memberi penghargaan kepada tiga tokoh yang dianugerahi dengan Anugerah Melayu Terbilang iaitu Tan Sri Hanafiah Hussain, Tan Sri Napsiah Omar dan Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latiff.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengetuai sekumpulan 2,000 anggota parti dan atlet kebangsaan menyempurnakan acara larian masuk bendera ‘Sang Saka Bangsa ke dalam stadium sekali gus menamatkan acara larian bendera UMNO itu yang bermula sejak 1 Mei lalu secara serentak di Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah.

Malam ini juga menyaksikan pelancaran pembangunan menara 70 tingkat KL PWTC.

— BERNAMA






Leave a Reply

Threesome