Menu Utama

Tiada Tindakan, Mahfuz Akan Terus Berpesta Hentam PAS

Sebagaimana maklum, PAS baru-baru ini dihentam teruk oleh Ahli Parlimennya sendiri, Datuk Mahfuz Omar. Bukan saja kepimpinan utama parti itu yang digambarkan seolah-olah ‘tidak tahu membuat keputusan’, malah PAS bagai dianggap ‘kartun politik yang tidak ketahuan hala’.

Ekoran dari hentaman Mahfuz secara terbuka menerusi media itu, maka ramailah pemimpin PAS termasuk dari Dewan Pemuda PAS yang tidak berpuas hati terhadapnya. Lantas mereka membalas dengan pelbagai kecaman kepada Mahfuz.

Melihat pada apa yang berlaku itu, penulis melihat ia hanyalah seperti tindakan mencurahkan air ke atas daun keladi. Ia sama sekali tidak akan memberi sebarang kesan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Malah mungkin Mahfuz akan ketawa besar dan semakin seronok menghentam partinya sendiri.

Sebelum ini, PAS pernah memecat Adun Salor, Datuk Husam Musa di Kelantan. Difahamkan, Husam dipecat keluar dari PAS kerana tindakannya yang melanggar disiplin parti selepas menghentam pendirian dan dasar partinya secara terbuka.

Husam bukan calang-calang pemimpin di negeri itu. Dia dikatakan pernah menjadi ‘orang kanan’ kepada bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat. Namun ‘virus’ itu PAS buang supaya tidak terus memberi ‘barah’ kepada parti di negeri berkenaan.

Namun menghairankan, kenapa PAS membiarkan saja Mahfuz bermaharajalela? Jika dihitung tindakan dan kenyataannya sebelum ini, lebih kurang sama saja kesalahannya dengan Husam. Malah mungkin lebih teruk dari Adun Salor itu.

Kenapa PAS tidak pecat saja Mahfuz keluar dari parti? Apabila Mahfuz menempelak PAS, maka setiap kali itu jugalah imej PAS akan terjejas teruk. Untuk apa PAS simpan ‘duri dalam daging’ itu? Sengaja simpan sehingga imej PAS teruk mata rakyat?

Sekiranya di teliti tentang tindakan disiplin PAS terhadap pemimpinnya, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali dipecat dari parti hanya kerana kesalahan yang kecil. Dia tidak hentam PAS seperti Mahfuz atau Husam, dia cuma jalankan tugas mengikut pendiriannya sahaja.

Jadi, kenapa PAS pecat Hasan dan Husam, tapi tidak memecat Mahfuz? Apakah kerana Pesuruhjaya PAS Kedah tidak membenarkan Mahfuz dipecat? Apakah kerana tindakan Mahfuz itu disokong dan mendapat restu PAS Kedah? Apakah PAS Kedah ‘talibarut’ Mahfuz?

PAS sepatutnya malu apabila dilihat tidak berdaya membuang ‘duri’ yang kini berada di dalam ‘daging’nya. ‘Duri’ itu sedang menyebabkan sebahagian dari ‘daging’ PAS ‘busuk’, keliru, bingung, marah, kecewa dan geram. Bukan saja terhadap Mahfuz, tapi juga kepada PAS yang dilihat lemah bertindak.

Mungkin benar Mahfuz tidak akan dicalonkan PAS pada PRU ke-14 nanti, tapi biarpun sebagai ahli biasa, dia dilihat akan turut menjejaskan parti dan mampu mempengaruhi sebilangan orang PAS untuk keluar parti dan memberi undi kepada Pakatan Harapan.

Apa lagi yang ditunggu Jawatankuasa Disiplin PAS? Mahu bukti yang bagaimana lagi? Atau Jawatankuasa Disiplin PAS juga dikuasai oleh golongan ‘harum manis’? Tepuk dada, tanya selera. Penulis hanya berpesan, terserahlah untuk terima atau tidak…






Leave a Reply

Threesome