Menu Utama

Syukur akhirnya PAS telah sedar, hanya UMNO-PAS bela Islam


12 MEI: PAS akhirnya telah sedar daripada bersekongkol dengan PKR kerana parti itu tidak mampu membela Islam akibat banyak tindakannya terpaksa tunduk dengan sekutu mereka dalam Pakatan Harapan terutamanya DAP.

Sambil menzahirkan rasa bersyukur dengan tindakan PAS yang memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan hanya dua parti sahaja yang membela Islam iaitu UMNO dan PAS.

“Akhirnya PAS sedar bahawa gabungan yang mereka bekerjasama dulu, sebenarnya tidak membawa kebaikan untuk Islam.

“Kita bersyukur kerana PAS sudah sedar dan hanya dua parti sahaja yang membela Islam iaitu UMNO dan PAS.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan peralatan gotong royong perdana dan sumbangan Ramadhan kepada surau-surau di Parlimen Putrajaya.

Sebanyak 57 surau di seluruh parlimen Putrajaya diberikan sumbangan RM3,000 dalam pelbagai bentuk peralatan untuk menjayakan gotong royong perdana pada esok.

Surau-surau tersebut turut diberi sumbangan sebanyak RM11,000 setiap satu sempena bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Semalam Majlis Syura Ulama PAS mengambil ketetapan untuk mengesahkan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PKR lagi.

Dalam pada itu Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan membidas dakwaan kononnya UMNO memaksa para pelajar universiti untuk hadir ke majlis sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 semalam di Bukit Jalil.

“UMNO tidak memaksa pun para pelajar ini untuk hadir. Mereka hadir bukan untuk ‘rally’ tetapi merayakan sambutan ulangtahun UMNO.

“Bukan.. Pembangkang ni banyak spinning. Memang ada pelajar minta untuk hadir. Mereka nak bersama-sama menyambutnya dan kita menjemput mereka,” katanya.

Menurutnya, para pembangkang sebenarnya terkejut dan cemburu dengan kehadiran ratusan ribu ahli UMNO pada sambutan ulang tahun parti itu semalam.

“Saya fikir mereka tak sangka jumlah kehadiran sebegitu rupa. Mereka harap kehadiran adalah barangkali satu per sepuluh. Tapi mereka tak sedar jumlah ahli UMNO sekarang ini hampir 3.6 juta orang ahli.

“Apabila kita arahkan 140,000 orang ahli UMNO datang, maka yang datang pun 140,000 orang, mereka terkejut dan tidak sangka kita ini parti yang kuat,” jelasnya.

Sumber: BNBBC
https://www.bnbbc.my/






Leave a Reply