Menu Utama

Sultan Selangor ingatkan Speaker perlu berkecuali

SHAH ALAM 13 Mei – Sultan Se­langor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen agar melaksanakan tugas dengan berkesan selain tidak memihak kepada mana-mana parti politik sama ada pihak pemerintah atau pembangkang ketika sidang dewan berlangsung.

Baginda bertitah, ia bertujuan memastikan institusi dewan dapat berperanan dengan baik dan mematuhi prinsip-prinsip keadilan yang sebenar.

“Oleh itu, Speaker hendaklah memastikan agar ahli-ahli dewan sentiasa mematuhi dan melaksanakan setiap peraturan dan garis panduan dewan yang telah ditetapkan,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Spea­ker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia 2017 di sini, hari ini.


SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH diiringi Hannah Yeoh (kiri), Pandikar Amin Mulia (kanan), S.A. Vigneswaran (tiga dari kiri) dan Mohamed Azmin Ali masuk ke dewan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia di Shah Alam, Selangor, semalam.

Yang turut hadir pada persidangan itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia: Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S.A. Vigneswaran dan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.

Sultan Sharafuddin bertitah Speaker dewan juga perlu berpe­ranan mengawal keadaan apabila berlaku pertelingkahan dalam kalangan anggota dewan ketika sesi persidangan.

“Ahli-ahli Yang Berhormat yang membahaskan sesuatu usul atau menzahirkan pandangan hendaklah dilakukan secara berhemah dengan mengikut segala peruntukan yang ditetapkan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan.

“Beta tidak mahu berlakunya kejadian ahli dewan bercakaran di dalam dewan dengan melemparkan bahasa-bahasa kesat dan menyakitkan hati tanpa mengawal emosi mereka,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, adab dan tatasusila ketika berbahas juga penting bagi membuktikan Malaysia mempunyai pemimpin matang dan berke­peribadian tinggi.

Baginda turut mengingatkan Speaker dan anggota dewan supaya mendukung kedaulatan institusi beraja dan Sistem Raja Berpelembagaan sebagai sebahagian daripada elemen penting dalam Parlimen dan DUN.

Baginda bertitah, peranan institusi raja dalam DUN khususnya, bukan sekadar sebagai lambang bagi upacara rasmi tetapi merangkumi aspek kuasa dalam meluluskan sesuatu rang undang-undang yang telah dibahaskan.

“Justeru, semua pihak terutama Speaker diingatkan agar menghormati dan akur kepada institusi raja sebagai lambang kekuatan bangsa dan negara,” titah baginda. – Bernama






Leave a Reply