Menu Utama

PAS Ragu-Ragu Mahu ‘Ceraikan’ PKR?

Muktamar PAS sudah berakhir. Usul supaya PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi sudah dibentang Dewan Ulama PAS dan telah dibahas oleh perwakilan yang hadir dari seluruh negara. Beberapa kali ditanya Pengerusi Tetap, usul itu telah dipersetujui sebulat suara…

Jika dirujuk kepada kenyataan Presiden dan pucuk pimpinan PAS yang lain, usul ‘penceraian’ PAS dengan PKR itu dijangka akan mengambil tempoh selama dua minggu untuk diputuskan oleh Majlis Syura parti itu. Maksudnya, ia terpulang pada keputusan tertinggi jemaah tersebut.

Antara alasan yang diberi PAS ialah usul berkenaan perlu diperhalusi kerana ia membabitkan hukum-hakam dan strategi pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi. Kerana itulah maka usul tersebut memerlukan masa untuk diputuskan.

Penulis enggan mengendahkan kata-kata Dato’ Mahfuz Omar yang mendakwa keputusan Muktamar PAS lebih aula dari keputusan Majlis Syura. Dia bukan sesiapa pun lagi dalam parti itu dan cuma ahli biasa yang berkemungkinan ‘ditamatkan perkhidmatan’nya tidak lama lagi.

Cuma, penulis agak ralat dengan usul itu yang dikaitkan dengan hukum-hakam dan strategi pilihan raya yang dijadikan alasan utama untuk PAS tangguhkan keputusannya. Apakah usul itu dianggap tidak menepati hukum-hakam dan tidak berlandaskan strategi politik PAS?

Setahu penulis, usul memutuskan hubungan dengan PKR dibuat oleh wakil dari Dewan Ulama PAS Pusat. Maka sudah tentu pembentang usul, Zulkifli Ismail, mendapat mandat dari usul yang dipersetujui semua perwakilan Dewan Ulama berkenaan, bukan?

Jika usul itu tidak menepati hukum-hakam, apakah PAS tidak mengiktiraf ketokohan dan pemahaman Dewan Ulamanya sendiri? Dewan itu tidak diwakili oleh golongan profesional, tapi dianggotai oleh mereka yang semuanya berlatar belakangkan pengajian agama.

Jadi, dengan menangguhkan keputusan berhubung usul itu, maka ia dilihat seolah canggung dan tidak wajar diambil masa yang agak lama. Padanlah Mahfuz mengambil kesempatan untuk ‘membahan’ usul tersebut di luar sana.

Dari sudut strategi, PAS telah memutuskan untuk konsisten dengan Gagasan Sejahtera. PAS juga pernah menjemput PKR untuk bersama Gagasan Sejahtera. Namun pelawaan PAS itu dipandang sinis dan ditolak mentah-mentah oleh kepimpinan PKR. Malah mereka kelihatan lebih selesa bersama DAP, PAN dan parti ‘cap bunga’ di dalam Pakatan Harapan.

Jadi apa strategi PAS berdepan hal ini? Apakah PAS masih mahu jadi ‘hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong’? Di mana PAS letakkan maruahnya? Apakah tanpa PKR, maka PAS tidak boleh hidup? Apakah PAS juga memandang rendah pada sekutu sendiri, Parti Ikatan?

Paling musykil, para pimpinan PAS sebelum ini begitu vokal menghentam Mahfuz. Tapi nampaknya Ahli Parlimen Pokok Sena itu lebih girang berkokok di luar sana ‘membahan’ keputusan pucuk pimpinan PAS. Sampai bila PAS mahu biarkan?

Insiden itu agak memalukan kerana Muktamar PAS berlangsung di Kedah dan negeri itu khabarnya mempunyai beberapa lagi wakil rakyat yang dikatakan bersifat ‘harum manis’. Apakah Jawatankuasa Disiplin PAS bacul untuk mengambil tindakan terhadap mereka?

Tindakan PAS itu hanya akan membuat ramai lagi pemimpin dan ahlinya akan memandang remeh pada prinsip perjuangan dan disiplin dalam jemaah. Lembutnya PAS terhadap mereka bagai tidak kena tempat. ‘Ular liar berbisa’ bagai dibiarkan dalam rumah sendiri?

Pada pandangan penulis, PAS perlu buat tindakan drastik. PKR perlu diceraikan sejurus selepas Muktamar tamat. Beberapa ‘harum manis’ perlu dinyahkan dari parti sebagai persediaan rapi dan meneguhkan perjuangan parti. Setelah itu, barulah perkemaskan diri untuk PRU ke-14.

PAS tidak wajar bertangguh lagi. Lebih lama bertangguh, makin ramailah ‘hijau menjadi oren’. Makin ditangguh, makin ramailah yang langgar disiplin parti. Penulis yakin, jika PAS biarkan itu berlaku, maka tidak hairan sekiranya PAS hilang beberapa kerusi nanti…



« (Previous News)



Leave a Reply

Threesome