Menu Utama

PAS Muktamad Putus Dengan PKR, Apa Akan Jadi Dengan Selangor?

Mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) PAS hari ini akhirnya telah membuat keputusan selaras dengan kehendak usul muktamar parti itu apabila secara rasmi menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Setiausaha MSU, Dr Nik Zawawi Salleh dalam kenyataan media selepas mesyuarat menggariskan tiga pelanggaran syarat tahaluf siyasi yang dilakukan PKR bagi mewajarkan tindakan PAS menamatkan kerjasama politik tersebut.

1) Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.

2) Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

3) Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Justeru itu katanya, “dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyaasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam, maka hubungan politik Tahaaluf Siyaasi antara PAS dan PKR telah terbatal.”

Keputusan itu secara umumnya mematikan ura-ura kemungkinan PAS melakukan u-turn di saat akhir dengan menterbalikkan usul berkenaan dengan alasan nak menjaga kepentingan politiknya di Selangor.

Dengan keputusan tersebut juga perhatian ramai kini akan semakin fokus kepada suasana politik di Selangor. Kedudukan pemimpin PAS sebagai Exco, Ahli Majlis Bandaran dan jawatan GLC negeri itu akan menjadi tanda tanya umum.

Kalau diikutkan kata Dr Zawawi, soal pertadbiran di Selangor akan diuruskan AJK pusat parti itu. Boleh pula main tolak-tolak perkara yang sepatutnya dimuktamadkan serentak.

“Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat,” itu kata Dr Zawawi.

Maksud tersirat beberapa ayat akhir “dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat,” sedikit mencurigakan, rasa-rasanya macam PAS sedang membina logik untuk membolehkannya terus kekal dalam pentadbiran di Selangor.

Lafaz cerai dah ucap, talak tiga dah jatuh dan keputusan bercerai sudah dimuktamadkan oleh pihak tertinggi dalam PAS (MSU), tapi bunyi beberapa ayat akhir nampak gaya macam masih nak bersekedudukan lagi, betulkah?

Jika betul demikian maknanya senario krisis politik yang pernah berlaku di Perak sewaktu zaman Nizar Jamaluddin jatuh kemudian meroyan hilang jawatan MB dulu akan berulang kembali dalam konteks berbeza.

Apapun, sekadar nasihat kepada rakyat Selangor bersedia sajalah untuk apa sahaja kemungkinan umpamanya politiking berterusan dalam kerajaan negeri yang tak berpenghujung, PRN mengejut, lompat melompat, mencuri ADUN, mungkin juga sidang DUN bawah pokok serupa di Perak atau apa sahaja kemelut yang bakal mendatang.

Satu yang jelas pasti, putusnya hubungan PAS dan PKR hari ini tak lain tak bukan retaknya bermula dari Langkah Kajang. Idea longkang dari Rafizi Ramli untuk kepentingan mentornya, Anwar Ibrahim diteruskan oleh Wan Azizah dan yang menikmati labanya Azmin Ali.

Jadi, kalau rakyat Selangor nak melepaskan geram bosan melihat segala huru hara politik ini, tuding dulu jari kepada Rafizi dan PKR, selebihnya baki 4 jari tuding diri sendiri sebab PRU13 dulu majoriti anda yang memilih pakatan parti yang diketahui tak pernah stabil untuk memerintah negeri ini. –  MyKMU.Net






Leave a Reply