Menu Utama

Mesyuarat MSU Hari Ini, PAS Mungkin U-Turn Tak Jadi Putus Dengan PKR

Muktamar PAS Ke-63 sudah lebih seminggu berakhir dan usul memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR sudahpun diterima sebulat suara oleh perwakilan parti di muktamar tersebut.

Ketika itu keputusan tersebut dikira paling melegakan ramai penyokong PAS setelah agak lama mereka menghambakan diri menjadi keldai tunggangan PKR terutama ketika PRK dan PRU.

Namun hakikatnya mereka belum boleh menarik nafas lega sepenuhnya kerana keputusan yang betul-betul muktamad hanya akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS (MSU) yang dijadualkan bermesyuarat hari ini.

Seperti penulis katakan dalam artikel sebelum ini akan tetap ada kemungkinan usul diterbalikkan, peratusannya kecil, tapi kemungkinan tetap satu kemungkinan yang tidak boleh diabaikan.

Sejarah politik PAS sebelum ini sebagai rujukan misalnya membuktikan sudah acap kali parti itu membuat pusingan U (u-turn), jadi kemungkinan untuk sekali lagi u-turn berlaku tak mustahil.

Ambil contoh kes tahun 2015, berdegar-degar perwakilan PAS minta kaji hubungan dengan PKR dan DAP, alih-alih keputusan MSU hanya memuktamadkan keputusan tamat kerjasama dengan DAP dan kekal dengan PKR.

Pening kepala penyokong PAS waktu itu nak menjawab logik kenapa kekal dengan PKR yang ada hubungan dengan DAP dan lagi memeningkan bila PKR kemudiannya menjalin kerjasama dengan PAN yang diketahui serpihan PAS.

Setahun kemudian usul Dewan Muslimat PAS kaji hubungan dengan PKR diluluskan lagi atas alasan PKR bekerjasama dengan PAN, tapi tak berapa lama kemudian PAS memutuskan untuk mengekalkan hubungan tersebut.

Usul tersebut hanya gah ketika muktamar sahaja sekadar menenangkan amarah ahli dan perwakilan PAS, namun kata putus muktamad jadi sebaliknya.

U-turn yang hampir sama PAS pernah lakukan dalam isu Kalimah Allah, isu Hudud, isu hubungan dengan DAP selepas pasca pakatan APU dan BA, isu Azmin sebagai MB Selangor, isu Dokumen Negara Islam yang diterbalikkan dengan hujah Negara Islam tiada dalam Al-Quran dan lain-lain lagi.

Jika sejarah politik PAS sebelum itu diambil kira, makanya hari ini kemungkinan yang sama boleh jadi akan berulang lagi. PAS mungkin akan u-turn dan usul putus dengan PKR diterbalikkan sekali lagi oleh MSU atas nama nak menjaga kepentingan PAS di Selangor terutamanya.

Dunia politik banyak ragam, banyak kemungkinan dan PAS tak terkecuali mengamalkannya. Soal prinsip boleh diketepikan kerana akan ada saja hujah untuk menghalalkan. Bukan tak biasa PAS melakukannya.

Dan sekiranya u-turn benar-benar berlaku, bukan hanya Azmin dan DAP yang gembira dapat mempergunakan jentera PAS sekali lagi, tetapi juga Dr Mahathir kerana di muktamar tempohari dia digelar Mr U-Turn oleh perwakilan PAS.

Masing-masing dah tentu boleh membayangkan sendiri tahap keseronokkan Dr Mahathir berkongsi gelaran Mr U-Turn, tak begitu? – MyKMU.Net






Leave a Reply