Menu Utama

Mampukah PAS Kedah Berdepan PAN, ‘Harum Manis’?

Penulis yakin bahawa ramai yang sudah melihat saf kepimpinan baharu PAS yang memenangi pemilihan parti itu pada muktamar yang berlangsung di Kedah baru-baru ini. Semalam pula, diberikan pula senarai pemimpin yang dilantik parti bagi melengkapi kepimpinan baru itu.

Jika diteliti pada senarai penuh, boleh dikatakan kem ulama’ di dalam PAS menguasai saf kepimpinan baru berkenaan. Cuma segelintir sahaja pemimpin yang bukan ulama’ yang tersenarai di dalamnya. Ia mengimbas kembali detik-detik parti itu dikuasai ulama seperti dulu.

Bagi negeri Kedah yang disasarkan Pakatan Harapan untuk ditawan pada PRU ke-14 nanti, PAS sekali lagi meletakkan tanggungjawab kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang merupakan seorang lagi ulama PAS.

Manakala bekas Setiausaha Politik Tan Sri Azizan Razak, Sanusi Mohd Noor pula cuma dilantik kepimpinan PAS sebagai AJK Pusat setelah tewas bertanding bagi jawatan yang sama. Dia bukan ulama’ dan cukup bernasib baik untuk terpilih kembali di peringkat PAS Pusat.

Pada pandangan penulis, musuh utama PAS Kedah pada PRU ke-14 nanti bukan lagi UMNO atau Barisan Nasional (BN). Memang benar kebanyakkan kerusinya akan menyaksikan pertembungan antara BN dengan PAS. Namun PRU ke-14 versinya agak berbeza berbanding versi PRU sebelum ini.

Kenapa? Seperti yang kita sedia maklum, Kedah merupakan antara negeri yang mempunyai paling ramai pemimpin dan anggota PAN. Dengan nama besar seperti Dato’ Phahrolrazi Zawawi yang berseteru kuat dengan arwah Ustaz Azizan, PAS pasti bergelut dengan PAN nanti.

Phahrolrazi asasnya kukuh di Kuala Kedah. Di situ terdapat 1 Parlimen dan 3 Dun yang dikatakan telah dikuasai sepenuhnya oleh Pengerusi PASMA itu. Hakikat kekuatan Phahrolrazi di Kuala Kedah dikatakan telah memeningkan PAS Kedah.

Selain itu, seorang bekas Exco kanan arwah Ustaz Azizan juga berpengkalan di Alor Mengkudu. Walau pun dilihat sebagai salah satu kubu kuat PAS, namun difahamkan PAN telah berjaya ‘mencuri’ ramai ahli PAS di sana.

Paling getir, PAS Kedah juga bakal berdepan dengan ‘musuh dalam selimut’ yang masih berselindung di dalam parti itu. Pada muktamar yang lalu, poster ketiga-tiga pemimpin ini terpampang mengatakan mereka telah dikenal pasti sebagai ‘harum manis’.

Sekiranya ditanya kepada penyokong PAS tulen di Kedah, mungkin ramai yang mengaku tentang status ‘harum manis’ Datuk Mahfuz Omar, Dato’ Amiruddin Hamzah dan Nasir Mustafa. Mahfuz di Pokok Sena, manakala Amiruddin dan Nasir di Anak Bukit dan Kubang Rotan.

Mereka inilah yang penulis lihat bakal menyulitkan gerakan PAS Kedah nanti. Ia adalah disebabkan pengaruh mereka agak kuat di negeri itu kerana mereka agak lama mendapat publisiti berbanding Pesuruhjaya PAS Kedah.

Ditambah pula dengan parti ‘cap bunga’ yang dikatakan bakal bertanding di beberapa kawasan ‘favorite’ PAS Kedah sebelum ini, dijangka seluruh jentera PAS Kedah akan menghadapi tugas yang getir pada PRU ke-14 nanti.

Jika dilihat pada gayanya, bakal berlaku pertembungan tiga hingga empat penjuru di beberapa kawasan Parlimen dan Dun di seluruh negeri Kedah. Episodnya pula hampir sama dengan apa yang berlaku di PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebelum ini.

Di kawasan yang dilihat UMNO menghadapi masalah untuk menang seperti di Sungai Limau, Tokai dan Bukit Pinang, berkemungkinan besar PAS akan kekal menguasai Dun-Dun berkenaan seperti biasa.

Cuma, bagi Dun Anak Bukit, Alor Mengkudu, Kobang Rotan dan beberapa parlimen misalnya yang dikatakan kini dikuasai ‘harum manis’ dan puak Pakatan Harapan, PAS terpaksa berhempas pulas untuk kembali menguasai kawasan tersebut.

Justeru itu, penulis positif untuk mengatakan bahawa cabaran PAS Kedah pada PRU ke-14 nanti ialah PAN dan parti ‘cap bunga’. BN di Kedah sememangnya sudah mempunyai kekuatan yang tidak perlu dipertikaikan. Cuma PAS Kedah sahaja yang perlu bina kembali kekuatan dalaman.

Apa yang dikhuatirkan ialah jika beberapa kerusi PAS terlepas kepada PAN, parti ‘cap bunga’ atau PKR di negeri tersebut. Kemungkinan itu tidak mustahil berlaku gara-gara PAS Kedah mempunyai ‘komander’ yang dilihat ‘lemah’ kerana tidak mampu berbuat apa-apa kepada puak ‘harum manis’ di sana.

Apakah perancangan PAS untuk PAS Kedah pada PRU ke-14 nanti? Mampukah PAS Kedah atasi pengaruh PAN, ‘cap bunga’, PKR dan DAP? Sama-sama kita nantikan…






Leave a Reply

Threesome