Menu Utama

Mahfuz Patut Cermin Diri Sendiri…

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menempelak PAS secara terbuka lagi. Kali ini dia dalam satu kenyataan media ‘mengarahkan’ PAS supaya memberi arahan kepada semua pemimpin PAS Selangor untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan Negeri.

Alasan yang diberikan Mahfuz adalah disebabkan PAS secara rasmi sudah memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR. Dia bercakap berkenaan prinsip dan pegangan politik, selain memberi amaran supaya PAS tidak menjadi ‘kartun politik yang tidak ketahuan hala’.

Pada pandangan penulis, gesaan Mahfuz terhadap PAS itu sememangnya benar. Menyentuh tentang politik perjuangan, sesebuah parti itu perlu berpegang kepada prinsip dan pendirian politik kepartian yang bakal menentukan tindakan.

Sekiranya tindakan tidak selari dengan prinsip parti, maka maruah parti dan perjuangan akan tercalar. Dalam bahasa mudah, ‘cakap tak serupa bikin’. Dari sudut ini, PAS sewajarnya melepaskan semua jawatan di dalam Kerajaan Negeri Selangor yang dikemudi PKR.

Cuma pada hemat penulis, Mahfuz bukanlah seorang yang layak untuk bercakap soal prinsip perjuangan dan pendirian politik partinya. Ia adalah disebabkan dirinya sendiri lebih ‘kartun’ dari PAS.

Mahfuz sewajarnya cermin dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum bercakap soal prinsip, pegangan, maruah dan perjuangan politik kepartian. ‘Suluh’ dirinya semasak-masaknya terlebih dahulu sebelum menempelak partinya sendiri.

Mahfuz menang di Parlimen Pokok Sena pada PRU ke-13 dulu atas tiket parti mana? PAN atau PPBM? Apakah Mahfuz fikir dia boleh menang di Pokok Sena sekiranya dia tidak bertanding atas tiket PAS? Apakah dia yakin mampu menang di situ atas tiket parti lain?

Benar PAS sudah putuskan hubungan dengan PKR. Tapi bagaimana pula dengan Mahfuz? PAS sudah ‘ceraikan’ PKR, DAP, PAN dan ‘cap bunga’, tapi kenapa Mahfuz masih tidak putuskan hubungan politik dengan parti-parti tersebut?

Kenapa Mahfuz terus sepentas dengan ‘musuh’ partinya sendiri? Mengapa Mahfuz tergamak berkempen dalam program ‘TV Oren’? Apakah ‘TV Oren” itu milik Gagasan Sejahtera, PAS atau Parti Ikatan? Mengapa Mahfuz bersekongkol dengan mereka yang menghentam PAS siang malam?

Di mana maruah Mahfuz? Bergelar Ahli Parlimen atas tiket PAS, tapi dia tidak mengikut pendirian parti untuk ‘bercerai’ dengan Pakatan Harapan? Mahfuz kata PAS tidak berprinsip kerana tidak meletak jawatan di Selangor, tapi kenapa dia tidak meletak jawatan selaku Ahli Parlimen PAS?

Setahu penulis, langsung tidak ada muka Mahfuz di kertas undi bagi Parlimen Pokok Sena sebelum ini. Terang-terangan PAS yang bertanding di sana, berwakilkan Mahfuz. Jadi, mengapa wakil yang tidak bersetuju dengan pendirian PAS tidak meletak jawatan dan keluar parti?

Kononnya ‘sayang’ untuk tinggalkan PAS? Penulis yakin rakyat di negara ini tidak bodoh untuk menilai kecenderungan Mahfuz. Orang Pokok Sena juga tidak sebodoh yang Mahfuz fikirkan. Sayang apa jika hentam parti sendiri secara terbuka? Sayang apa apabila bertindak menjejaskan imej parti?

Pada penulis, sekiranya Mahfuz bermaruah dan mempunyai prinsip, dia sepatutnya sudah lama keluar parti dan sertai parti sahabatnya, Mat Sabu. Sekurang-kurangnya dia akan dilihat berprinsip walaupun ramai yang melihat PAN sebagai ‘tunggangan baru’ DAP, bukan?






Leave a Reply