Menu Utama

Langkah Berani Kerajaan Berjaya Letak Malaysia Pada Landasan Ekonomi Lebih Kukuh, Kata PM Najib

Langkah berani yang telah diambil kerajaan sejak lapan tahun lalu telah berjaya mencetus momentum serta meletakkan Malaysia pada landasan ekonomi yang kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah tersebut seperti pemansuhan subsidi minyak, pengurangan kebergantungan kepada pendapatan minyak, rasionalisasi subsidi dan juga memperkenalkan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah memberi banyak pulangan kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan telah mengambil banyak langkah berani dan pelbagai keputusan sukar, untuk mencapai sasaran Malaysia untuk menjadi Ekonomi Maju Pendapatan Tinggi,” kata Najib ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara di sini, hari ini.

Antara bukti jelas keberkesanan tindakan kerajaan adalah pertumbuhan ekonomi negara yang diukur melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), secara puratanya berkembang pada 5.1 peratus sejak tahun 2010.

Angka ini, jelas Najib, adalah dua kali ganda daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia. Tambah beliau lagi, tahun lepas, sekalipun tahun yang amat mencabar dari segi ekonomi global, komitmen Kerajaan terhadap Program Transformasi Negara telah memastikan asas ekonomi negara terus berdiri teguh.

“Hasilnya, ekonomi kita telah berkembang pada kadar yang di luar jangka Kerajaan mahupun Bank Dunia, iaitu pada, 5.6 peratus untuk suku pertama tahun 2017,” kata Najib.

Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang menerima manfaat daripada pemulihan ekonomi dunia.

Malah, kata Najib, minggu lepas, majalah Forbes meletakkan Malaysia kedudukan paling atas dalam kalangan semua negara Asia untuk pelaburan asing.

Malaysia juga telah diiktiraf oleh firma antarabangsa, BAV Consulting & Wharton School dari Amerika Syarikat bahawa sebagai negara yang terbaik untuk para pelabur bagi tahun 2017.

Dari sudut fiskal negara, Kerajaan berjaya mengurangkan lebih separuh defisit fiskal, daripada 6.7 peratus pada tahun 2009, kepada 3.1 peratus pada tahun 2016.

Selain itu, Kerajaan juga telah mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak daripada 41 peratus pada 2009, kepada 14.7 peratus pada 2016, dengan mempelbagaikan sektor ekonomi sebagai sumber pendapatan negara.

Kurangan daripada hasil minyak juga telah dapat ditampung melalui perolehan hasil kutipan GST sebanyak RM42 bilion ringgit pada tahun 2016.

Jelas Perdana Menteri lagi, seandainya Kerajaan tidak cekal dan tabah melaksanakan inisiatif tersebut, negara tidak akan mampu menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan negara.

“Syukur kepada Allah SWT, dengan iltizam yang tidak kunjung jemu, atau strong and unwavering political will, demi kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara dan rakyat, Kerajaan kekal dengan pendirian melaksanakan GST,” jelas beliau.

Tegas Najib lagi, langkah pragmatik Kerajaan dalam melaksanakan GST adalah tepat pada masa, wajar dan telah terserlah buktinya.

— BERNAMA






Leave a Reply