Menu Utama

Kerajaan Malaysia Haramkan Terapi Ozon

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa semua bentuk terapi ozon yang melibatkan penggunaan mesin terapi ozon, suntikan ke dalam saluran darah seseorang individu dan darah tersebut diproses menggunakan mesin tersebut, adalah termasuk dalam lingkupan rawatan perubatan.

Oleh yang demikian, amalan tersebut perlu mematuhi semua aspek undang-undang perubatan sedia ada dan tindakan boleh diambil ke atas pihak-pihak yang gagal mematuhi ketetapan tersebut. KKM mendapati terapi ozon ini adalah disediakan di pelbagai jenis premis perniagaan termasuk klinik, salun kecantikan dan ianya dikendalikan oleh profesional jagaan kesihatan dan orang yang tidak berkelayakan.

Penilaian Teknologi Kesihatan yang dijalankan oleh Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit. Malah, terapi tersebut mendedahkan pengguna kepada risiko pendarahan daripada penggunaan heparin, embolism (penyekatan salur darah oleh gelembung udara), jangkitan kuman akibat peralatan yang tidak steril dan kehilangan upaya yang kekal berpunca daripada kegagalan organ seperti buah pinggang.

KKM ingin menegaskan semula bahawa terapi ozon merupakan rawatan yang tidak diiktiraf dan boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuklah kematian. Maka, KKM mengambil serius perkara ini dan pengawalseliaan terapi ozon ini perlulah mengikut ketetapan perundangan perubatan sedia ada, seperti berikut:

• Selaras dengan ketetapan Seksyen 2 dan 5, Akta Peranti Perubatan 2012 [Akta 737], mesin terapi ozon ditafsirkan sebagai suatu peranti perubatan yang perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (Medical Device Authority (MDA)). Mana-mana establismen, pembuat, pengimport atau pengedar mesin terapi ozon yang mengimport, mengeksport atau meletakkan dalam pasaran apa-apa mesin terapi ozon perlu memohon lesen establismen dan pendaftaran peranti di bawah Akta 737 dengan MDA, ataupun menarik semula pengedaran/penggunaan mesin tersebut dari pasaran, selewat-lewatnya 1 Julai 2017.

• Kegagalan mematuhi ketetapan tersebut atau mereka yang melanggar peraturan ini boleh menyebabkan tindakan perundangan diambil, iaitu apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

• Penggunaan produk heparin bagi rawatan terapi ozon adalah tertakluk kepada Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952 yang dikuatkuasakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF).

• Bagi kemudahan jagaan kesihatan swasta yang berlesen atau berdaftar bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang menyediakan rawatan terapi ozon, tindakan perundangan bawah Akta 586 boleh
diambil.

• Penggunaan injection needles dan injection syringes untuk IV heparin tertakluk kepada ketetapan Medical (Instruments) (Exemption) Regulation 1986, di mana radas tersebut hanya boleh digunakan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pembantu perubatan berdaftar. Oleh itu, tindakan undang-undang boleh diambil kepada premis yang tidak berdaftar atau tidak berlesen dan menyediakan terapi ozon sekiranya terdapat bukti penggunaan injection needles dan injection syringes di premis berkenaan.

• Aduan terhadap pengamal perubatan berdaftar yang menyediakan perkhidmatan terapi ozon boleh dikemukakan kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya (telefon: 03-26912171, faks: 03-26912937 / 03-26938569, email: admin.mmc@moh.gov.my, http://www.mmc.gov.my/index.php/making-a-complaint).

KKM ingin menekankan sekali lagi bahawa terapi ozon bukan sahaja tidak memberikan sebarang manfaat kesihatan, malah rawatan tersebut boleh membahayakan nyawa pengguna. Kerjasama antara agensi penguatkuasa bawah KKM akan diperkukuhkan bagi memastikan keselamatan dan kualiti jagaan kesihatan untuk rakyat sentiasa dipertingkatkan dan dijaga.

DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
3 Mei 2017






Leave a Reply