Menu Utama

Jawatan PM: Pakatan Harapan bercakaran

Parti-parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP bercakaran sesama sendiri selepas Kongres PKR yang ber­akhir kelmarin menyatakan pendirian berhubung pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Episod kecam-mengecam se­sama parti mula ditimbulkan oleh ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim semalam yang menempelak tindakan PKR itu dengan mendakwa pengisytiharan Ketua Umum PKR sebagai perdana menteri merupakan satu perbuatan ‘sombong’.

Hari ini, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat antara kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan itu menerusi satu surat terbuka.

Menurutnya, pimpinan Pakatan Harapan yang dike­tuai DAP itu lebih sibuk menuba racun kesumat atas perlakuan silam, kurang fokus un­tuk men­de­ngar de­nyut nadi rakyat ma­lah mengambil ke­sempatan untuk mencalar perhubungan se­sama parti.

“Apa yang berlaku di Kongres PKR adalah amat sedih dan mengecewakan sekali. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PPBM jelas diserang, kongres yang seharusnya mampu dijadikan me­dan penyatuan bertukar menjadi medan melampias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikit pun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya.

“Kepemimpinan tertinggi PPBM ini seakan ‘dipaksa’ dan ‘diperangkap’ un­tuk menyatakan pendirian atas sokongan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Anwar selaku Perdana Menteri ketujuh. Walhal tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri,” kata­nya menerusi Facebooknya, hari ini.

Syed Saddiq turut mempersoalkan di sebalik tindakan memalukan Dr. Mahathir yang tidak mengangkat sepanduk Anwar PM ke-7 de­ngan mengaitkan keseriusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan PPBM.

Katanya, janganlah kerana terlalu taksub terhadap Anwar sehinggakan soal perlembagaan, undang-undang dan strategi memenangi pilihan raya di belakangkan.

“Adakah mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan PPBM? Sejauh mana keikhlasan mereka menerima PPBM dalam Pakatan Harapan? Kalau kita kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk Seri Anwar tetap tidak boleh dinaikkan sebagai perdana menteri,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau faham sejarah pahit lalu yang me­nyaksikan permusuhan penyokong Dr. Mahathir dan Anwar, namun adalah tidak adil apabila dalam kalangan ahli dibiarkan untuk terus disemarak api kebencian dan dendam kerana kesalahan lampau hingga rakyat terhukum.

“Kita hanya mewarisi per­telingkahan silam yang cukup menghukum rakyat, namun adakah kita sanggup untuk membiarkan rakyat menderita kerana kesalahan lalu dan kelemahan kita masa kini hinggakan UMNO mampu terus berkuasa. Ini bukan lagi salah UMNO,” katanya.

Utusan






Leave a Reply