Menu Utama

GST ambil kira semua aspek – Asyraf Wajdi

Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2014 dibuat setelah mengambil kira fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan bukannya diputuskan secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, sebelum pelaksanaan cukai itu, kerajaan terlebih dahulu merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut de­ngan mengambil kira kebaikannya kepada negara dan rakyat.

Sehubungan itu, tegasnya, semua pihak terutama parti politik diingatkan supaya tidak menjadikan GST untuk raih populariti atau sokongan kerana setiap penggubalan mahupun pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan itu dibuat berdasarkan keperluan serta kepentingan umum.

“Jawatankuasa tersebut juga telah mengambil kira pelbagai aspek, termasuklah kebaikan dan keburukan sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa dan ia juga dibuat secara kolektif, bukannya bersifat individu yang mana perbincangan mengenai GST turut mengambil kira pandangan pakar kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Antologi Cerpen Mimpi Dalam Realiti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas me­ngenai kenyataan ahli Pas yang mengatakan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tersilap mengeluarkan fatwa mengenai GST, Asyraf Wajdi menyanggah dakwaan ter­sebut.

Menurutnya, semua pihak seharusnya menghormati fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kerana ahli-ahlinya merupakan semua mufti dan pakar syariah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan sultan.

“Jika ada dalam kalangan pe­mimpin politik pembangkang me­ngatakannya haram, maka kita perlu minta kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan batalkan semua cukai termasuk cukai pintu dan cukai perniagaan kerana kesemua cukai itu juga tidak pernah dikutip semasa zaman Rasulullah SAW.

“Jika mereka cuba menghukum cukai itu haram, maka mereka juga sepatutnya terlebih dahulu membatalkan semua cukai yang dikutip,” tegas beliau.

Utusan






Leave a Reply