Menu Utama

Doa berbuka puasa (video).

oleh Ustaz Dato Dr Fathul Bari

Cerita doa berbuka ini panjang perbahasannya, ringkasnya ialah hadis-hadis yang datang tentang doa berbuka ada banyak. Tetapi yang paling pasti datangnya dari Nabi SAW cuma satu sahaja, iaitu bismillah.

Adapun yang jelas dhaif (lemah dan tidak boleh diamalkan) iaitu riwayat, “Allahumma Laka Sumtu wa bika Amantu wa ’ala Rizqika Afthartu..” itu adalah doa berbuka puasa yang dha’if jiddan (sangat dha’if) dan tidak boleh digunakan, kerana penyandarannya kepada Nabi SAW.

Satu lagi ada hadis yang berbunyi,

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا أَفْطَرَ قَالَ « ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Dari Ibnu Umar, dia berkata; Adalah Rasulullah SAW ketika berbuka baginda berkata: “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat, dan telah ditetapkan pahala Insya Allah” (riwayat Abu Dawud, Al-Baihaqi, dan Al-Hakim. Dinilai hasan oleh Syaikh Albani)

Sebahagian ulama mengkategorikan hadis ini sebagai hasan dan boleh diterima pakai. Walaubagaimanapun ada kritikan juga daripada kalangan ulama-ulama mutaqaddimun contohnya yang menilai lemah hadis ini bahkan dinyatakan bahawasanya sebahagian daripada kalangan ulama mutaakkhirin turut menilainya lemah, antaranya tokoh hadis yang terkenal daripada Yaman iaitu Syaikh Muqbil bin Hadi Al Wadi’i rahimahullah juga menilai lemah hadis ini.

Yang menilai hadis ini sebagai hasan adalah Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani rahimahullah. Ini adalah khilaf tetapi bacaan yang pasti tidak ada perselisihan di kalangan para ulama adalah Bismillah.

Sesiapa yang bersetuju dengan penilaian Syaikh Muhammad Nashiruddin Al Albani rahimahullah maka dia boleh membaca doa “Dzahabadz-dzama-u wabtallatil ‘uruuq wa tsabatal ajr insya Allah” ketika berbuka. Cuma ada lagi khilaf iaitu pada waktu bilakah doa ini patut dibaca, adakah sebelum atau sesudah berbuka.

Dari sudut teks hadis ini membawa erti “telah hilang dahaga” bermakna seseorang telah minum dan berbuka ketika membaca doa ini. Perkara ini adalah khilaf dan tidak ada masalah sama ada hendak membaca sebelum atau selepas, cuma perlu diketahui apakah hujah para ulama yang berpandangan baca selepas; iaitu kerana perkara ini dari sudut teks dalilnya menggambarkan perkara ini telah berlaku.

Adapun yang mengatakan ia dibaca sebelum berbuka; hujahnya sama seperti hadis dhaif “Allahumma laka shumtu wa bika amantu wa ‘ala rizqika afthartu…”Afthartu dalam doa ini bererti kami telah berbuka. Maka menurutnya, tidak menjadi masalah apabila kita menyebut sesuatu yang belum berlaku lagi dan menggambarkan seolah-olah ia telah berlaku sebagai satu tujuan untuk menyatakan kesyukuran. Contohnya, “Ya Allah aku bersyukur kerana esok aku akan dapat melanjutkan pengajian ke Universiti Madinah”, “Ya Allah aku bersyukur kerana esok aku akan tamat hafalan al Quran” dan seumpamanya, sedangkan perkara itu belum berlaku.

Begitu juga ketika Allah berfirman, “inna awhainaka (sesungguhnya kami telah mewahyukan kepada kamu)”tetapi ayat Al Quran pada masa itu tidak diturunkan sekaligus tetapi turun secara beransur-ansur sedikit demi sedikit. Tetapi ia menggambarkan semua yang bakal diwahyukan itu sama seperti yang diwahyukan kepada Rasul-rasul sebelumnya.

Jadi ini adalah wajah-wajah dan cara pendalilan atau penghujahan masing-masing. Terpulang sama ada ingin membacanya sebelum ataupun selepas. Yang pasti, bacaan bismillah tidak ada khilaf (dibaca sebelum berbuka). Manakala doa yang telah tersebar “Allahumma laka shumtu…” adalah sangat dha’if yakni lemah sandarannya kepada Nabi SAW (sehingga tidak boleh diamalkan) berdasarkan sebab-sebab yang telah dinyatakan dan juga kerana perawi yang meriwayatkan hadis tersebut dinilai lemah dan pendusta oleh para ulama pakar dan ahli hadis.

Wallahu A’lam






Leave a Reply