Menu Utama

Budak-Budak Gen-Y Bolehlah Dia ‘Kencing’…

Membaca berita yang melaporkan bekas Perdana Menteri itu mendakwa di zamannya tidak berlaku insiden mana-mana individu dilempang di depannya membuat penulis tidak berkejip mata. Penulis baca berkali-kali. Dalam hati, ‘biar betul?!’…

Penulis cari lagi berita dari media lain berkenaan laporan yang seumpamanya. Memang sah dia berkata demikian. Dia mendakwa di zamannya tidak ada yang dilempang? Tiada yang berlaku biadap terhadapnya selama 22 tahun memerintah?

Bila penulis mengesyaki dia berkemungkinan menghidap penyakit alzheimer, ada penyokongnya yang tidak berpuas hati. Dimaki hamun penulis kerana kemungkinan itu. Namun apa yang penulis amati, sindromnya lebih jelas sekarang.

Jika boleh diimbas tentang apa yang berlaku dahulu di layar media arus perdana, sudah tentu penulis akan lakukan. Bukan saja lempang, lebih dari itu pun pernah berlaku.

Cuba cakap apa yang tidak dimaki kepadanya dulu. Selama dia menjadi Perdana Menteri untuk tempoh 22 tahun, ia bukan satu jangkamasa yang singkat. Tempoh itu menyaksikan pelbagai caci maki dan hinaan biadap dilemparkan terhadapnya. Itu baru bentuk ‘verbal’…

Dari bentuk fizikal, cuba imbas kembali nostalgia ‘mengusik jiwa’ sekitar insiden pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bermula dari mesyuarat yang berlangsung sehari sebelum Anwar dipecat, ia melarat hingga ke hari ini.

Cuma korek balik sejarah apa yang berlaku. Setakat botol air mineral ‘terbang’ itu biasa berlaku. Kereta rasmi Perdana Menteri, itu pernah berlaku. Mujurlah ada ramai anggota polis yang mengawal, jika tidak, lunyai dia dikerjakan dulu…

Sepanjang zaman reformasi dahulu, termasuk sekitar perbicaraan Anwar, macam-macam perkara yang berlaku. Ada yang ditembak dengan ‘water cannon’, ada yang dikejar dengan belantan, ada yang terperosok dibelasah, malah ramai juga yang dihumban ke Kamunting!

Bagaimana pula dengan insiden Memali? Katanya dia ‘tidak ada’ di tanahair. Tapi nampaknya seolah-olah tembelang itu tiba-tiba ‘pecah’ selepas dia tidak lagi menjadi Perdana Menteri? Kenapa tidak ‘pecah’ ketika dia berjawatan Perdana Menteri? Nak ‘mampos’ didedah ketika itu?

Siapa yang hidup dan mengharungi zaman pemerintahannya di ibu negara dulu, pasti akan ketawa. Pasti mereka tidak akan lupa tentang realiti apa yang berlaku, khususnya para mahasiswa yang majoritinya menyokong Anwar.

Pada pandangan penulis, dia tidak akan mampu memadam apa yang berlaku dahulu. Benar dia berjasa, namun dia juga tidak mampu memadam ‘dosa-dosa’nya selama dia berada di atas dulu, bukan? Jika ada telefon pintar dan media sosial di zaman itu, penulis yakin sudah ramai yang kena terajang di depannya.

Budak-budak Gen-Y mungkin bolehlah dia ‘kelentong’. Tapi bagi mereka yang dewasa di zaman sebelum itu, kami semua tidak akan lupa tentang apa yang berlaku. Jadi, jika benar pun terdesak, janganlah sampai menipu. Jika ‘lupa’, mengaku sajalah. Tidak perlulah menipu…






Leave a Reply

Threesome