Menu Utama

Anak muda diingatkan jangan jadi ejen fitnah

KUALA LUMPUR 19 Mei – Golongan muda terutama penuntut di universiti awam dan swasta diingatkan supaya tidak menjadi ejen kepada penyebaran budaya fitnah sehingga menyebabkan perpecahan berlaku dalam kalangan masyarakat.

Menegaskan perkara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, golongan berkenaan seharusnya bijak menilai antara fakta kebenaran dan kepalsuan memandangkan mereka terdiri dari kelompok terpelajar dan berilmu.

“Mereka juga perlu menjauhi persepsi songsang dan mengelak dari diresapi pemikiran liberal tanpa sempadan kerana ini boleh mendorong untuk bertindak secara emosional.

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR (tengah) bersama Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia, Datuk Rafi Awang Kechik (tengah kanan) bergambar bersama para peserta pada Wacana Pemikiran Anak Muda di Kompleks Darul Puteri, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN ONLINE/FAISOL MUSTAFA

“Sebagai anak muda, anda harus menjadi pemangkin kepada kerajaan kerana anda adalah kelompok penting dalam proses pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Wacana Pemikiran Anak Muda Masa Depan Negara peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Seramai 250 penuntut universiti awam dan swasta dari sekitar Lembah Klang mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Kompleks Darul Puteri, Cheras.

Program anjuran Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi antara lain bertujuan memberi pencerahan kepada penuntut berhubung isu semasa yang berlaku selain membuka ruang untuk menyuarakan buah fikiran. – UTUSAN ONLINE






Leave a Reply