Menu Utama

Tuduh Kerajaan Tidak Bantu Petani, Mainan Politik Pembangkang – Tajuddin

TELUK INTAN, 9 April (Bernama) — Pembangkang tidak boleh menuding jari semata-mata menyalahkan Kerajaan Persekutuan tidak peka masalah sebilangan golongan petani sehingga menyebabkan hasil tuaian mereka berkurangan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata selama ini, kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) telah memperuntukkan beratus bilion ringgit terhadap sektor pertanian.

Ia dilakukan sejak Rancangan Malaysia Pertama hinggalah kini antaranya membangunkan modal insan, infrastruktur, kapasiti petani, pemberian subsidi serta pemberian insentif meliputi sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

“Hasilnya kini, kita boleh tengok ramai masyarakat petani telah keluar dari kepompong kemiskinan. Ini jihad yang kita bangunkan bukan setahun dua, tetapi ini polisi dan komitmen berterusan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pra-pelancaran Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 di Kampung Sungai Batu di Sungai Manik di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di persidangan Dewan Undangan Negeri hujung bulan lepas yang seolah-olah menyalahkan kerajaan tidak membantu golongan pesawah di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang menghadapi masalah serangan penyakit Hawar Daun (BLB) pada musim kedua penanaman padi tahun lepas.

Tindakan segera Mohamed Azmin mengumumkan bantuan kewangan kepada petani terjejas itu dilihat sebagai mengambil kesempatan politik sedangkan kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam perancangan melaksanakan satu skim membantu pesawah terlibat, dakwa beliau.

“Gaya MB Selangor membangkitkan seolah-olah bahawa kita tiada membantu petani adalah satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali,” dakwanya.

BERNAMA






Leave a Reply