Menu Utama

Tak perlu lagakan saya dengan Zahid, pembangkang takkan berjaya hasut

Oleh NUR ASLINDA NASIR Foto RABBANI JAMIAN

12 APRIL: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyambut baik pelantikan beliau sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Katanya dalam sidang media, ia merupakan suatu penghormatan buat dirinya dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan sekaligus merasakan pelantikan tersebut merupakan peluang untuk dirinya bersama dengan Timbalan Perdana Menteri dalam mengagihkan tugas mengikut landskap baharu yang perlu dihadapi.

“Lantikan itu merupakan satu kepercayaan yang cukup saya hargai, insyaAllah amanah yang diletakkan kepada saya ini, yang juga dalam portfolio tambahan, saya akan pikul sedaya upaya.

“Apa yang diperlukan nanti saya akan bincang dengan Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan rasmi penasihat Raja Arab Saudi, Dr Muhammad Abdul Karem Al-Issa di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Hishammuddin turut berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba membuat spekulasi berikutan pelantikan tersebut.

Ini kerana katanya tidak sampai 24 jam lantikan pelbagai spekulasi timbul namun tegas Hishammuddin pelantikan ini adalah bagi meringankan beban Perdana Menteri.

“(Kita ada) banyak kerja.

“Contohnya hari ini dengan (lawatan) pegawai Raja Salman, ia tidak berkisar dengan Mindef (Kementerian Pertahanan) sahaja tetapi ia melibatkan KDN (Kementerian Dalam Negeri), Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Kami proaktif, work in progress dan kalau ada tugas dan keperluan baru yang perlu kita hadapi maka penyesuaian dari segi portfolio dan tanggungjawab boleh dilakukan atas budi bicara dan kuasa PM. Ini keputusan dia (PM) sendiri,” kata Hishammuddin.

Bagaimanapun, Hishammuddin meminta semua pihak tidak menjadikan pelantikan beliau sebagai cubaan untuk melaga-lagakannya dengan Timbalan Perdana Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jangan ada mana-mana pihak cuba gembar-gemburkan mencari perkara yang boleh melagakan kita pula, sebab Timbalan Perdana Menteri sendiri setuju dengan pelantikan ini dan saya terima sebagai satu amanah, itu yang penting dari nak melayan orang yang tak tahu pun sebenarnya apa yang kita buat.

“Biar orang ramai yang nilai, tapi bukan pihak berkepentingan yang menilai pelantikan jawatan hari ini,” ujarnya.

Beliau dalam masa yang sama turut mengulas ramalan Naib presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyatakan pelantikan tersebut bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Ahmad Zahid sambil menyifatkan Rafizi sebagai ‘kaki kipas’.

“Itu memang kerja Rafizi pun, bukan dia yang lantik saya, apa yang berlaku ni tak ada kena mengena dengan dia, Rafizi ni memang ketua mengipas dan melagakan.

“Saya nak beritahu yang dia takkan berjaya kerana saya anggap ia sebagai satu amanah untuk bentuk sesama pimpinan kita, saya akan bersungguh-sungguh pada amanah yang dipertanggungjawabkan, jadi tak ada benda yang boleh dia kipas lagi dah,” tambahnya.

Terdahulu, Rafizi meramalkan pelantikan Hishamuddin itu bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Ahmad Zahid.

Beliau melihat langkah itu sebagai restu langsung daripada Najib.

Manakala, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub menafsirkan pelantikan Hishammuddin sebagai petanda Najib akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi.

Awal hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Hishammuddin dilantik sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan ini akan membolehkan Hishammuddin menjalankan tugas selain tanggungjawabnya beliau sebagai Menteri Pertahanan.

Perkara itu diumumkan Najib sendiri dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid dalam kenyataan medianya turut menyambut baik perlantikan tersebut dengan menjelaskan Hishammuddin mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan berikutan pelantikan sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas.

“Pelantikan ini sesuai dan saya yakin beliau (Hishammuddin) dapat membantu Perdana Menteri dalam misi dan tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan juga tugas tertentu yang akan membawa kepada kelicinan pentadbiran kerajaan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

sumber: https://www.bnbbc.my/tak-perlu-lagakan-saya-dengan-zahid-pembangkang-takkan-berjaya-hasut/






Leave a Reply