Menu Utama

Polisi Diplomasi Ketenteraan Kukuhkan Nama Malaysia Di Mata Dunia – Hishammuddin

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polisi diplomasi ketenteraan yang dijalinkan Malaysia dengan negara-negara luar banyak membantu mengukuhkan kedudukan negara di mata dunia, serta memudah Malaysia mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan.

Mengambil contoh cabaran negara ketika berdepan isu kehilangan pesawat MH370, beliau berkata pada ketika itu sebanyak 26 negara telah tampil membantu dalam pencarian pesawat malang itu, termasuk menyediakan pelbagai aset canggih seperti pesawat Poseidon dan P-3 Orion milik tentera Amerika Syarikat dan pesawat Illusion dari China.

Jadi tak ada sebab untuk (mengabaikan diplomasi ketenteraan), dan satu lagi teras dan hala tuju Kementerian Pertahanan perlu kita terus pertahankan. Kelebihan (diplomasi ketenteraan) itu, saya lihat, tidak banyak negara ada kekuatan seperti kita ada, katanya kepada sidang media di lobi Parlimen, selepas menghadiri persidangan Dewan Negara hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian sewaktu diminta mengulas mengenai kekuatan aset ketenteraan negara berbanding dengan negara-negara lain, terutamanya dalam suasana global yang agak tidak menentu ketika ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohd Salim Sharif, Hishammuddin pada persidangan Dewan Negara, beliau berkata Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM340 juta dalam sektor pelancongan dengan anggaran perbelanjaan RM5,000 seorang bagi pelawat antarabangsa dan RM1,000 bagi pelawat tempatan.

Hishammuddin berkata, LIMA 2017 juga mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai pameran terbesar dan terbaik sepanjang penganjuran LIMA yang telah memasuki edisi ke-14.

“LIMA 2017 telah menarik penyertaan 555 pempamer daripada 36 negara termasuk sembilan negara yang baharu berbanding 512 pempamer semasa LIMA 2015.

“Pameran ini juga mencatat pelawat perdagangan seramai 40,280 pada tiga hari pertama dan 236,000 pelawat awam,” katanya tentang kejayaan dicapai semasa LIMA 2017.

Katanya, beberapa faktor akan terus ditekankan agar penganjuran tersebut akan terus menjadi pameran terunggul di masa depan termasuk skop pameran segmen pertahanan, aeroangkasa akan terus menjadi teras penganjuran itu.

“Ada banyak lagi kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) iaitu peluang sektor komersial selain aktiviti promosi dengan pemain industri antarabangsa dalam usaha menarik lebih ramai pelawat perdagangan,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata lawatannya ke Beijing, China yang akan dibuat dalam masa terdekat akan menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan empat kapal misi pesisir (LMS), disaksikan beliau dan rakan sejawatannya dari China Jeneral Chang Wanquan.

Beliau berkata program pembinaan LMS merupakan satu daripada teras Program Armada 15 to 5 (15-5) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), iaitu pelan penyusunan semula armada yang kini terdiri daripada 15 kelas kapal kepada hanya lima kelas kapal agar lebih efektif untuk disenggara.

LMS ini merupakan satu daripada lima kelas TLDM dalam transformasinya, daripada 15 kelas, dan sekiranya LMS ini termeterai, akan dibina di Malaysia dan dua lagi di China, katanya, sambil menambah kementerian akan beri tumpuan pada pembinaan Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) selepas ini.

— BERNAMA






Leave a Reply

Threesome