Menu Utama

Pelantikan Hishammudin Sebahagian Pelan Peralihan Kuasa atau Sekadar Keperluan Pentadbiran?

Oleh Ab Jalil Backer

Pengumuman pelantikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri dijangka menimbulkan pelbagai spekulasi dalam politik Malaysia buat beberapa hari akan datang.

Pengumuman tanpa sebarang penjelasan dan penerangan lanjut selain sebagai membantu Perdana Menteri, maka ia membuka kepada pelbagai spekulasi politik terutamanya membabitkan kesatuan dalam parti dan kerajaan.

Sungguhpun kerajaan sering melantik Menteri Tugas-Tugas Khas sebelum ini seperti Tun Daim Zainuddin dan Mustapha Mohamed, namun ia dalam situasi yang berbeza.

Mereka sebelum ini bukan wakil rakyat dan ahli kabinet, dibawa masuk sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas bagi membantu Perdana Menteri terutama dalam bidang ekonomi. sebaliknya, Hishammuddin telah pun berada di dalam kabinet dan di sebuah kementerian yang kanan.

Persoalan terbesar yang akan berlegar di kalangan pemerhati politik ialah sama ada Hisham di bawa masuk ke Jabatan Perdana Menteri untuk mengukuhkan Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak; atau sebagai sebahagian pelan peralihan kuasa?

Ia boleh dilihat sebagai sebahagian rancangan Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak untuk berundur selepas Pilihan Raya Umum akan datang.

Justeru Mohd Najib membawa masuk Naib Presiden UMNO sebagai satu langkah memudahkan gandingan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Hisham dilantik sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional menang dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Sekiranya Perdana Menteri mempunyai “pelan peralihan kuasa” menjelang pilihan raya akan datang, beliau mahu memberi indikator jelas bahawa Hishammudin harus diangkat sebagai Timbalan kepada Ahmad Zahid.

Namun akan ada juga yang melihat bahawa pelantikan ini merupakan usaha mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak.

Perdana Menteri mungkin melihat ada ketidakseimbangan politik yang memerlukan Hisham turut berada di Jabatan Perdana Menteri sekaligus mengukuhkan kedudukan beliau.

Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan bahawa kemungkinan pelantikan ini merupakan satu keperluan bagi memudahkan hubungan antara beberapa agensi keselamatan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan Kementerian Pertahanan. Terdapat beberapa agensi penting seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mungkin memerlukan khidmat Menteri Pertahanan di Jabatan Perdana Menteri.

Namun sehingga maklumat jelas diperolehi, pelantikan ini merupakan misteri besar dan akan menimbulkan cakap-cakap politik buat beberapa minggu akan datang.






Satu Komen to Pelantikan Hishammudin Sebahagian Pelan Peralihan Kuasa atau Sekadar Keperluan Pentadbiran?

  1. dkds says:

    berita sebegini memang menarik untuk penganalisa melakukan spekulasi, ada kalanya tepat dan ada kalanya tersasar…namun apa yang penulis kata tentang ‘peralihan kuasa’selepas PRU akan datang itu memang menarik.

Leave a Reply