Menu Utama

KENYATAAN MEDIA TERHADAP WAWANCARA KASSIM AHMAD DAN THE MALAYSIAN INSIGHT YANG BERSIFAT HASUTAN.

Kami terkejut ketika membaca wawancara bersama Kassim Ahmad yang dibuat oleh The Malaysian Insight (“TMI”), media The Malaysian Insider yang dilancarkan semula dengan mengekalkan Ketua Editornya, Jahabar Sadiq sebagai penggerak utama. Kassim Ahmad diberi pujian melambung oleh media maya itu sebagai seorang ‘ilmuan Islam’ dan ‘intellektual yang tersohor’:

Kassim Ahmad bukan orang asing kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, lebih-lebih lagi berhubung pendirian dan pandangan kontroversinya terhadap kedudukan Hadith Nabi Muhammad (s.’a.w) sebagai Rasul terakhir di dalam Islam. Beliau pernah ditangkap dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yang kini telah dimansuhkan) pada pertengahan tahun 70an atas tuduhan menyebarkan fahaman sesat tersebut kepada orang awam.

Di dalam wawancara Malaysian Insight bertajuk ‘Governments have no business meddling in Islam, says scholar Kassim’ itu (https://www.themalaysianinsight.com/s/1752/), beliau dipetik sebagai berkata bahawa cara Islam ditadbirkan di Malaysia akan membawa kepada konflik agama. Disamping itu, beliau dengan beraninya menyeru supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda agar semua rujukan kepada Islam sebagai agama Persekutuan kita dikeluarkan.

Kedudukan Fasal 3 (1) di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah sangat tegas dan tidak boleh dibahaskan lagi. Ia merupakan sebahagian daripada tolak ansur keperlembagaan oleh para pendahulu kita, yang di dalamnya terdapat pengiktirafan terhadap sejarah Kesultanan Melayu Muslim yang membentuk Tanah Melayu di mana Islam dan syariatnya sentiasa diperakui sebagaimana layaknya.

Hakikat ini malah telah disahkan oleh kuasa penjajah British ketika itu, di mana R. J. Wilkinson memperakui kedaulatan undang-undang Islam di kalangan penduduk tempatan dan seterusnya dimaktubkan di dalam keputusan perundangan berhubung beberapa kes terdahulu di zaman tersebut, contohnya Ramah lawan Laton. Ia merupakan tunggak dan tiangseri kepada negara moden kita dan juga struktur dasar Perlembagaan yang tidak boleh dirubah sesuka hati oleh sesiapapun.

Maka seruan supaya dimansuhkan kedudukan Islam yang tertinggi sebagai agama bagi Negara (Persekutuan) adalah sesuatu yang bersifat hasutan, sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Akta Hasutan 1948 (dipinda pada tahun 1970) ekoran meletusnya insiden rusuhan antara kaum pada tahun 1969, di mana beberapa dasar lain utama yang lain di dalam Perlembagaan iaitu kedudukan Melayu (Fasal 153) dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Fasal 152) turut dipersoalkan. Akta Hasutan telah dipinda untuk menghalang sebarang persoalan terhadap dasar-dasar utama Perlembagaan demi memastikan rusuhan antara kaum tidak akan berulang lagi.

Justeru itu, seruan yang dikumandangkan oleh Kassim Ahmad adalah satu kesalahan jenayah dalam kerangka di atas dan TMI, dengan mengadakan dan menyiarkan wawancara tersebut turut bersalah secara implikasi dan bersamaan. Kesalahan tersebut adalah suatu perkara yang secara nyatanya akan menimbulkan kesan serius terhadap keharmonian antara kaum dan agama di dalam komuniti pelbagai budaya kita yang masih rapuh dan akan membawa natijah buruk kepada kesejahteraan dan kemajuan ekonomi rakyat Malaysia.

Kami dengan ini menyeru supaya pihak berkuasa menyiasat Kassim Ahmad dan TMI di atas perlakuan menghasut, dan juga apa-apa kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan serta mendakwa mereka ke tahap semaksima mungkin sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Ini bertujuan untuk menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak lain yang menyimpan hasrat yang sama bahawa sebarang percubaan untuk mempertikaikan kedudukan Islam dan mencetuskan ketegangan antara kaum secara hasutan tidak akan dibenarkan sama sekali.

* Kenyataan Media oleh:

1. ​Azril Mohd Amin, Ketua Eksekutif Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA)

2. ​Aidil Khalid, Penyelaras Kempen Concerned Lawyers for Justice (CLJ)

3. ​Faidhur Rahman Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif Young Professionals (YP)

4. ​Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

5. ​Mohd Luttfi Abdul Khalid, Pengerusi iPeguam






Leave a Reply